07 Februari 2012

50 maut tentera Syria bedil Homs

14 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IMEJ yang disiarkan di laman YouTube semalam menunjukkan suasana di luar sebuah hospital yang diserang tentera Syria di Homs.


BEIRUT, Lebanon - Tentera Syria membedil bandar Homs semalam menyebabkan 50 orang terbunuh manakala 150 lagi cedera, kata kumpulan penentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad di negara berkenaan, Majlis Kebangsaan Syria (SNC).

Serangan meriam itu disasarkan ke atas beberapa daerah di bandar berkenaan.

Homs sebelum ini menjadi pusat penentangan terhadap Bashar.

"Homs menjadi sasaran bedilan roket dan mortar sejak pukul 6 pagi lagi (waktu Syria). Kebanyakan mangsa yang mati adalah orang awam," kata seorang anggota SNC, Catherine Al-Talli kepada agensi berita Reuters.

"Rejim Bashar bertindak seperti mereka kebal daripada campur tangan antarabangsa dan bebas menggunakan keganasan terhadap orang awam," tambahnya.

Menurut Al-Talli, serangan terbaharu itu yang bermula sejurus selepas pukul 2 pagi waktu Syria semalam, mengenai sasaran yang lebih meluas dengan letupan berlaku di kawasan penempatan penduduk di Khalidiya, Baba Amro, Bayada dan Bab Dreib .

"Mereka (tentera Syria) mahu mengusir keluar Tentera Pembebasan Syria," kata seorang penduduk Bab Amro, Hussein Nader menerusi panggilan telefon kepada Reuters.

Dia merujuk kepada kumpulan pemberontak merangkumi pembolos tentera dan kumpulan lelaki bersenjata yang menguasai Homs sejak beberapa bulan lalu.

Serangan kali ini berlaku sehari selepas Amerika Syarikat (AS) berjanji akan melaksanakan sekatan lebih keras ke atas Syria.

Ia sebagai tindak balas ke atas Rusia dan China kerana menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyokong pelan Liga Arab untuk mendesak Bashar supaya berundur.

Pada Jumaat lalu, tentera Syria turut membedil Homs sehingga mengakibatkan lebih 200 orang mati.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia semalam mengecam Barat kerana berada dalam keadaan histeria disebabkan berang berhubung tindakan Moscow menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi PBB.

Resolusi tersebut bagi mengecam tindakan keras Bashar menggempur kumpulan penunjuk perasaan di negara rantau Arab itu yang berlaku sejak tahun lalu.

Susulan tindakannya membantah resolusi PBB bersama China pada Sabtu lepas, Rusia kini dilabel penjahat diplomatik oleh Barat.

Malah, seorang menteri Perancis memberitahu bahawa Rusia perlu diajar.

Perkembangan tersebut berlaku menjelang pertemuan para menteri luar enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu kota Arab Saudi, Riyadh lewat minggu ini bagi membincangkan perkembangan di Syria.

Dalam pada itu, Iran menyokong pengunaan kekerasan oleh Bashar bagi mematahkan kebangkitan rakyat Syria.

Sokongan tersebut dinyatakan oleh Iran selepas kekejaman rejim Bashar mematahkan tunjuk perasaan. Keganasan selama hampir 11 bulan lalu di Syria menerima kecaman kuasa-kuasa dunia lain. - Agensi

Tiada ulasan: