20 Februari 2012

Banjir di Perak: 150 penduduk terjejas

27 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH — Lebih 150 penduduk dari 50 buah keluarga di Gugusan Manjoi dan Buntong di sini terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara akibat kejadian banjir kilat berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Kesemua mereka dari Kampung Dato Ahmad Said, Kampung Tengku Hussein dan Kampung Manjoi dipindahkan berikutan paras air di beberapa batang sungai antaranya Sungai Pari dan Sungai Tapah melimpah.

Kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Tengku Hussein dan Dewan Orang Ramai Kampung Manjoi di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang meninjau kawasan terjejas di Kampung Manjoi di sini, pagi tadi, berkata kejadian banjir itu dianggap luar biasa berbanding sebelum ini.

Beliau meminta Majlis Keselamatan Negeri dan agensi kerajaan lain menyalurkan segala bentuk bantuan dengan segera terutama keperluan harian dan makanan kepada kesemua mangsa banjir.

"Pihak yang bertanggungjawab juga perlu mengambil langkah segera bagi menghubungkan kawasan ini termasuk jalan raya di kampung-kampung yang rosak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyumbang sejumlah peruntukan kepada semua mangsa banjir bagi mengurangkan beban terutama untuk membaik pulih kediaman mereka. —BERNAMA

Tiada ulasan: