20 Februari 2012

'Latiff Ibrahim masih hidup', hentikan khabar angin beliau mati

27 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Latiff Ibrahim kini masih dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN), di sini, selepas diserang penyakit jantung kelmarin.

Sehubungan itu, keluarga Latiff meminta penyebaran khabar palsu kematian penyanyi dan pelakon itu dihentikan serta-merta. Adiknya yang juga penghibur terkenal, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, khabar angin itu menimbulkan keadaan panik sekali gus membawa tekanan apabila ramai rakan serta sanak saudara terkejut dan menyangka mereka tidak dimaklumkan mengenai kematiannya itu.

“Saya harap tiada pihak membuat spekulasi atau menyebarkan perkara yang tidak tepat, apatah lagi membabitkan isu meninggal dunia. Abang saya memang dimasukkan ke hospital disebabkan serangan jantung, namun keadaannya masih dalam pemantauan.

“Sebenarnya sejak semalam lagi kami menerima banyak panggilan telefon. Apa pun dalam situasi begini, lebih baik kita mendoakan semoga dia cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Latiff atau nama sebenarnya, Abdul Latiff Ibrahim, 62, pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira 12 tahun lalu. Namun sejak kebelakangan ini kesihatannya tidak menentu apabila sejak tahun lalu sudah tiga kali dikejarkan ke hospital disebabkan serangan sama.

Daripada keluarga terdekat, difahamkan penyanyi 80-an yang popular dengan lagu Nora itu sepatutnya menjalani pembedahan jantung sekali lagi dalam tempoh terdekat.(BH)

Tiada ulasan: