4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Himpunan Hijau 2.0 yang dijadualkan di padang MPK4 bidang sepanjang Jalan Tanah Putih menunju ke bandar Kuantan akan bermula pada jam 10 pagi ini.
Perhimpunan itu sebagai membantah tindakan Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng yang mahu membina sebuah loji pemprosesan nadir bumi yang berharga RM700 juta. Syarikat berkenaan awal bulan ini mendapat lesen operasi sementara dan kelulusan daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk memulakan operasi mereka.
Penganjur perhimpunan itu malam tadi, membuat pengumuman mengejutkan pada tengah malam tadi di Facebook dengan mengumumkan bahawa mereka akan berkumpul di padang MPK1 di sepanjang Jalan Mahkota pada jam 9.30 pagi.
Menurut mereka, tindakan berkumpul di padang itu yang terletak kira-kira 1.8km dari padang MPK4 bertujuan "mengelakkan kesesakan lalu lintas".
Dari padang MPK1 mereka akan berarak ke padang MPK4. Padang MPK1 sebelum ini menjadi pilihan penganjur, namun secara tiba-tiba pada Khamis lalu, pihak berkuasa tempatan -
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) - mula mendirikan pagar dengan alasan untuk "kerja-kerja menaik taraf".
Namun setelah berunding dengan polis pada Jumaat lalu, akhirnya pihak berkuasa bersetuju membenarkan perhimpunan diteruskan dan padang MPK4 diberikan kepada orang ramai yang mahu membuat bantahan itu.
LAPORAN LANGSUNG
8.58am: Suasana seolah-olah serperti pesta. Aktivis dari NGO mesra PKR, Jingga 13, mempersembahkan drama mempersendakan Menteri Besar Pahang Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
"Sebagai menteri besar berapa banyak awak akan beri saya untuk bina kilang?" soal seorang pelakon.
Seorang lagi yang berpakaian sebagai seorang jurutera dengan tertera perkataan "Lynas" pada bajunya menjawab: "RM700 juta!"
"Wow! Saya terima. Saya boleh ke London," jawab 'menteri besar' itu.
8:51am Ratusan peserta dari Hotel Megaview, kini berada berdekatan padang MPK1. Anggota polis kemudian meminta mereka terus ke padang MPK 4, tempat sepatutnya mereka berhimpun.
Mereka bergerak sambil terus menyanyikan lagu 'Suara Rakyat'.
8:45am Cuaca cerah di Kuantan, dengan semakin ramai yang datang. Dianggarkan tidak kurang 1,000 orang yang sedang berkumpul dan sebahagian besar mereka mencari teduh daripada bahang matahari kerana acara dijadualkan kira-kira sejam lagi.
Kumpulan aktivis Jingga 13 sedang memamlu kompang sambil menjeritkan slogan "Hentikan Lynas".
8:31am Bekas aktivis pelajar Hishamuddin Rais dilihat mengetuai orang ramai sambil menyanyikan lagu "Suara Rakyat" sebelum mereka berarak ke tempat berkumpul di padang MPK1.
Turut hadir adalah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan juga beberapa anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, termasuk Maria Chin dan Wong Chin Huat.
8:22am Sebuah helikopter polis kelihatan sedang berlegar-legar di bruang udara di kawasan sekitar, dipercayai bagi memantau kawasan sekitar.
Beberapa kumpulan NGO dan juga ahli parti-parti politik mula tiba.
Menurut seorang petugas unit amal PAS, PKR dan beberapa NGO itu akan berkumpul di Hotel Sentral di Kuantan manakala PAS pula di berdekatan pasaraya Giant, dan DAP akan berhimpun di berhampiran sebuah pasar.
Katanya, semua kumpulan itu, kemudiannya akan bergerak dan bertemu di padang MPK 4.
8:14am Kebanyakan yang hadir berpakaian serba hijau.
Turut hadir adalah penduduk Bukit Koman yang berkempen menentang perlombongan cyanidedi Raub.
8:10am Jumlah yang datang semakin ramai. Dianggarkan tidak kurang 300 mula berkumpul. Seorang peserta kelihatan membawa bendera Johor, manakala seorang lagi membawa sepanduk berbunyi: "Saya dari Klang, saya tentang kilang nadir bumi."
8:02am Pengerusi jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau Wong Tack berkata orang ramai diminta berkumpul di padang MPK1 pada jam 9 pagi dan mereka akan berarak ke padang MPK4 dari situ.
Satu lagi, tempat berkumpul adalah di pasar Kuantan dan mereka juga akan berjalan menuju ke padang MPK1 sebelum ke padang MPK4.(HD)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan