26 Februari 2012

Imam sentiasa di hadapan, bukan masa solat sahaja


4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - KOTA BHARU : Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyeru para imam di negeri ini supaya sentiasa berada di ‘saf hadapan’ dalam semua keadaan dan tindakan, bukan hanya semasa mengimamkan solat sahaja.

Bahkan, kata Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti, para imam hendaklah bertindak senada dengan kerajaan negeri.

“Apabila dapat kuasa, kita memerintah cara Islam. Antaranya kerajaan menegaskan bahawa judi itu haram dan lesen tidak dikeluarkan, maka demikianlah penegasan imam kepada masyarakat bahawa hukum judi itu haram.

“Para imam sejak lama dahulu membawa makmun ke arah jalan kebaikan termasuk dalam bab judi haram,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan kali ke-15 di Dewan Persatuan itu di Pasir Tumboh dekat sini, pagi tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumboh, Ahmad Baihaki Atiqullah, Yang Dipertua Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan, Kamaruzzaman Abdul Latiff serta pegawai dan jawatankuasa persatuan.

Demikian juga, ujarnya ketika mengajar agama di masjid dalam bab arak itu haram.

“Dan bukanlah mengajar bahawa ‘arak’ atau ‘judi’ itu kalau ada lesen, ‘halal’ dan kalau tidak ada lesen, maka ‘haram’,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, para imam khasnya dan rakyat di negeri ini amnya hendaklah berasa beruntung berada di negeri Serambi Mekah, yang kerajaannya memerintah cara Islam.

Menurutnya lagi, dalam semua aspek, para imam hendaklah arif akan ‘ujung jatuh’ hasil dari tindakannya, selaras dengan pendirian kerajaan negeri, dengan menurut hukum Al-Quran.

“Demikian juga dalam kerja-kerja Islam, para imam kena berada di hadapan, hatta dalam perjuangan Islam pun tok imam kena duduk di hadapan,” ujarnya.

Bahkan, kata Nassuruddin, dari segi kebajikan juga, para imam hendaklah mendahului orang lain, menjadi golongan terbaik dan sentiasa mempertingkatkan diri.(HD)

Tiada ulasan: