28 Februari 2012

Taliban balas dendam

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEBERAPA askar Afghanistan mengawal
lokasi serangan pengebom berani mati
di pintu masuk Lapangan Terbang Jalalabad, timur Kabul semalam. - AP

KABUL, Afghanistan - Seorang pengebom berani mati Taliban meletupkan bom di sebuah pangkalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Lapangan Terbang Jalalabad menyebabkan sembilan orang terbunuh semalam.

Serangan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap perbuatan askar Amerika Syarikat (AS) membakar kitab al-Quran di sebuah pangkalan tentera AS di sini.

Menurut polis, mereka yang terbunuh termasuk enam orang awam, seorang askar Afghanistan dan dua pengawal tempatan.

Namun, seorang jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa yang diketuai AS berkata, tiada laporan mengenai kematian askar-askar asing.

Sementara itu, Taliban mengaku bertanggungjawab melakukan letupan tersebut.

Pergerakan itu menyatakan ia merupakan satu serangan balas selepas kitab al-Quran dibakar.

Kematian terbaharu itu menjadikan kira-kira 40 orang maut dalam tempoh enam hari tunjuk perasaan ganas berlangsung di negara ini.

"Askar-askar asing telah menghina agama kami dan serangan ini merupakan satu perbuatan balas dendam," kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

Menurut polis, tujuh askar AS cedera dalam satu letupan bom tangan kelmarin ketika satu tunjuk perasaan anti-AS diadakan di sebuah pangkalan tentera AS di utara wilayah Kunduz.

Pada Sabtu lalu, dua penasihat AS ditembak mati. - AFP

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bangkit wahai saudara seAGAMA ku, Islam kini diHINA oleh bukan Islam malah yang paling ramai menghina Islam adalah mereka yang SEAGAMA dengan ku.... kembali kepada Al-Qur'an dan Hadis nescaya kamu tidak akan sesat selamanya.