12 Mei 2012

Imigresen tahan 14 warga asing kerja di pasar


20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - JOHOR BAHRU: Seramai 14 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops 6P di sebuah pasar raya di sekitar kawasan Pandan, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Mohamad Nasir Abas berkata, serbuan disertai 20 anggota dan pegawainya itu memeriksa 25 warga asing yang bekerja di pasar raya terbabit.

Menurutnya, seramai 14 warga asing terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh, berusia antara 21 hinggs 45 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, kehadiran anggota yang berpakaian preman tidak disedari warga asing ini.

Warga asing ini ditahan berdasarkan loghat suara ketika sedang menarik perhatian orang ramai untuk membeli ikan dan ayam di premis yang mereka kerja.

Apabila serbuan dibuat, ada pekerja asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di bawah rak sayur.

Kesemua warga asing ditahan berikutan lokasi pasar raya ini sudah dikepung terlebih dahulu.

Mohamad Nasir berkata, warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pasport atau dokumen perjalanan sah ke negara ini.

Mereka juga ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana kesalahan menyalahguna pas lawatan dimiliki.

Kesemua warga asing terbabit juga disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan Akta Pasport 1960, katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa komplek Setia Tropika untuk dokumentasi sebelum di hantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian.- Harakahdaily

Tiada ulasan: