12 Mei 2012

Rasa macam esok nak mengadap Agong - Najib


20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - Melihat sambutan Ulangtahun Umno ke-66 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil memberangsangkan, Presidennya, Datuk Seri Najib Razak secara berseloroh berkata beliau rasanya 'macam esok' ingin mengadap Yang Dipertuan Agong esok bagi mengadakan pilihan raya.

"Oleh kerana bahang pilihan raya dah dapat kita rasai dan ramai sudah kena demam pilihan raya, saya lihat malam ini hebat.

"Rasanya esok saya nak menghadap Yang di-Pertuan Agong," katanya sambil menerima sorakan dan tepukan hampir 100,000 ahli parti dari seluruh negara di majlis tersebut.

Meneruskan ucapannya, Najib turut bertanya kepada semua peserta yang digelar sebagai 'gelombang merah' sama ada telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Dengan penuh bersemangat, Najib bertanya: "Kita sudah bersedia? Kita boleh menang? Bila nak pilihan raya? Esok? Bulan Jun? Tahun depan?," katanya.

Hadirin yang rata-rata terdiri daripada golongan muda menyahut pertanyaan Najib dengan menjawab: " Sudah bersedia... Boleh menang."

Dalam pada itu, Najib turut menegaskan walaupun sudah berusia 66 tahun, tetapi Umno bukanlah sebuah parti yang 'mabuk kuasa'.

Najib menjelaskan, parti itu sanggup melakukan apa sahaja perubahan demi perjuangan bangsa, agama dan negara.

Berbeza dengan pembangkang yang gemar memperlekehkan Umno, Najib berkata, hakikatnya Umno merupakan sebuah parti yang demokratik dan banyak berjasa kepada negara.

"Tak ramai yang jangkakan bila Umno lahir 66 tahun yang lalu kita boleh bawa negara kita seperti yang kita saksikan sekarang ini. Kita tak mabuk kuasa. Kita sanggup buat perubahan jika masa menuntut untu berubah, kalau persekitaran berubah...Umno juga perlu berubah.

"Dasar kita boleh ubah tetapi prinsip perjuangan kita kekal demi bangsa, agama dan negara. Orang pembangkang suka memperlekehkan Umno dan menghina kejayaan kita. Nak hina Umno, tetapi mereka sebenarnya tidak ada jasa pada negara," katanya.

Tujuh prinsip hadap p'raya
Perdana menteri juga mengemukakan tujuh prinsip sebagai panduan kepada rakyat untuk membuat penilaian dan pertimbangan menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata tujuh prinsip itu dikemukakan berdasarkan tempoh hampir tujuh dekad Umno telah berjasa kepada negara.

"Saya nak papar tujuh prinsip yang boleh bantu kita buat penilaian dan pertimbangan. Pertama, antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mana satu kepimpinan yang dipercayai dan janji ditepati? Siapa yang buat segalanya? Barisan Nasional!"

"Selain itu, 22 janji yang pembangkang beri... sebahagian besar tak ditunaikan di Selangor. Siapa yang gagal uruskan soal air? Banyak lagi mereka gagal.

"Yang kedua, kita mesti tentukan esok lebih baik daripada hari ini. Antara BN dan pembangkang siapa yang boleh jamin rakyat Malaysia esok lebih baik dari hari ini," katanya.

Persoalan Najib itu seterusnya disambut dengan sorakan hangat kira-kira 100,000 anggota Umno yang hadir .

Seterusnya, Najib berkata rakyat juga perlu membuat pertimbangan pihak mana yang boleh memelihara keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesucian agama Islam dan Raja-Raja Melayu serta hak-hak kaum lain di negara ini.

Prinsip keempat, katanya, adalah rakyat perlu memilih siapakah antara BN dan pembangkang yang mampu menguruskan ekonomi dengan baik dan boleh membawa pertumbuhan yang memberangsangkan.

"Kelima, siapa yang boleh pelihara keharmonian negara? Keenam, siapa yang boleh buat perubahan dan pembaharuan secara tersusun? Siapa yang buat transformasi negara?" katanya.

Prinsip terakhir, kata perdana menteri, adalah rakyat perlu memilih pihak yang benar-benar boleh memelihara kemakmuran negara sehingga Malaysia dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Najib berkata perhimpunan malam ini menjadi bukti sokongan dan dukungan kaum Melayu yang semakin meningkat kepada Umno dan BN.

"Di malam yang bertuah dan bersejarah ini biarlah stadium ini jadi saksi kita semua umat Melayu berkumpul dengan penuh semangat dan keyakinan. Siapa kata sokongan dan dukungan Melayu pada Umno sudah menurun?

"Hari ini kita saksikan sokongan kita yang semakin meningkat. Saya nak tanya kalau kedudukan perlembagaan orang Melayu, apabila Islam diasak, institusi negara diperlekeh... siapa ke depan pertahankan kalau bukan Umno?," katanya.

Perdana menteri berkata rakyat perlu memelihara kemakmuran yang telah dibawa ke seluruh pelosok tanah air dan tidak sesekali membiarkannya dibinasakan di tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Biar berputih tulang, jangan rakyat dan bangsa putih mata. Kerana kelak kita tidak mahu lihat anak-anak cucu terbangsat hidup mereka. Maka kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman janganlah kita terpalit darah meracun sandiwara lawan dan menempah alam kegagalan.

"Ayuhlah! Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redah. Jangan ribut taufan pun mesti kita harungi. Jangan air bah, gelombang badai pun harus berani kita harungi. Jangankan gerhana, gelap gelita pun pasti kita terangi. Ayuhlah semua.

"Biar berdentum guruh di langit, walau kilat sambar-menyambar. Berpaksikan kepada parti Umno, berbekalkan kepada janji oleh Barisan Nasional. Hidup Umno, hidup Barisan! Selamat hari ulang tahun Umno," katanya.(sumber Malaysiakini)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nak tengok pemimpin dan yang dipimpin "korupsi" dan "dikorupsikan" lihatlah kepada hadirin di Stadium Nasional Bukit Jalil tu. Patutlah keadilah begitu sukar untuk ditegakkan di negara "malang" ini, rupa-rupanya ramai juga yang kurang kapisiti otaknya berbanding kaum lain.