09 Jun 2012

Buruh maut dihempap kren

19 Rejab 1433H. [MOD] -

SETAR - Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut akibat dihempap kren pembancuh simen di Taman Seri Indah, Jalan Putra, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa Delowar Hossain Nurul Islam, 27, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, kaki dan badan.

Saksi kejadian, Razak Othman, 50, berkata, selepas terdengar bunyi seperti benda berat jatuh, dia seakan-akan terdengar bunyi jeritan dan kemudiannya melihat kren berkenaan
bergoyang-goyang.

“Rumah saya terletak tidak jauh dari sini, kira-kira 500 meter dan saya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Bila saya tiba di sini, saya lihat rakan-rakan mangsa sudah mengangkat mangsa ke tepi sementara menanti bantuan perubatan, namun tidak lama selepas itu, mangsa menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Rakan sekampung mangsa, Akhbar Ali, 39, berkata, mereka datang bersama dari Bangladesh untuk mencari pekerjaan di Malaysia.

“Kami mendapat kerja di sini tetapi saya bekerja di tempat berlainan tidak jauh dari kawasan ini, mangsa sudah berkahwin kira-kira empat tahun lalu dan isterinya kini berada di kampung.

“Saya terkejut bila ada rakan menelefon dan memberitahu kemalangan yang menimpa mangsa, saya terus bergegas ke sini dan lihat dia sudah meninggal,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

sinar harian/-

Tiada ulasan: