09 Jun 2012

Politik Mesir semakin tidak menentu

19 Rejab 1433H. [MOD] -

PENUNJUK perasaan bertengkar sesama sendiri mengenai calon presiden Mohammed Morsi dan Ahmad Shafiq di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam.

Gabungan masalah politik, undang-undang diramal cetus ketegangan baru

KAHERAH: Enam belas bulan selepas bekas Presiden Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat, masa depan politik Mesir masih bergelut dengan kes mahkamah dan perbalahan terbuka antara calon.

Keadaan itu mungkin menyebabkan Parlimen Mesir yang baru dilantik dibubarkan, pilihan raya presiden tidak akan diteruskan manakala Perlembagaan baru negara itu tidak dapat dirangka.

Cara masalah ini diatasi akan menentukan sama ada pemerintahan tentera akan berakhir 1 Julai depan atau Mesir kembali kepada keadaan asal dengan ketegangan dan pertumpahan darah baru.

“Keputusan mahkamah akan meningkatkan sejuta persoalan. Apa yang kita lihat sekarang ialah kekalutan politik,” kata Ahli Perundangan Ikhwanul Muslimin, Sobhi Saleh, pergerakan yang berdepan kehilangan besar jika Parlimen dibubarkan.

Gabungan antara masalah politik dan undang-undang berlaku tidak sampai dua minggu menjelang pilihan raya pusingan kedua antara Ahmad Shafiq dan calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi, pada 16 dan 17 Jun ini. Pemenang akan diisytiharkan pada 21 Jun.

Morsi dan Shafiq adalah dua calon yang menduduki dua tempat teratas daripada 13 calon dalam pilihan raya pusingan pertama bulan lalu. Rakyat Mesir yang tinggal di luar negara sudah mula mengundi dalam pusingan kedua ini.

Bagaimanapun, bilangan aktivis yang semakin ramai mendesak pilihan raya dibatalkan keseluruhannya, merosakkan prospek sama ada calon Ikhwanul Muslimin atau penyokong setia rejim lama untuk mentadbir Mesir. Bekas ketua agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamed ElBaradei, yang juga pemimpin pembaharuan negara itu salah seorang daripadanya.

“Rakyat Mesir tidak bersedia untuk pilihan raya dan mereka akan berpecah-belah. Pilihan raya perlu menjadi pentas akhir demokrasi, yang belum kita miliki,” katanya kepada wartawan Selasa lalu.

Dua hari sebelum pilihan raya, Mahkamah Agung Perlembagaan, akan mempertimbangkan dua kes yang berpotensi menjadikan semuanya kucar-kacir sekali lagi.

Dalam satu kes, ia menilai semula keputusan mahkamah rendah mengenai undang-undang menganjurkan pilihan raya Parlimen lewat tahun lalu tidak mematuhi Perlembagaan. Jika mahkamah bersetuju, perundangan sedia ada yang menyaksikan Ikhwanul Muslimin menguasai hampir separuh kerusi akan dibubarkan dan rakyat Mesir perlu kembali mengundi untuk memilih Parlimen baru.

Kes lain ialah sama ada Shafiq boleh terus bertanding atau tidak. Mahkamah akan mengeluarkan keputusan mengenai kesahihan undang-undang pengecualian politik yang diluluskan Parlimen melarang ramai tokoh rejim lama daripada bertanding dalam pilihan raya. Jika ia menyokong undang-undang itu, Shafiq terpaksa menarik diri dan pilihan raya presiden terpaksa dimulakan sekali lagi.

Beribu-ribu penunjuk perasaan memenuhi Dataran Tahrir minggu ini menuntut undang-undang itu digubal untuk menyingkirkan Shafiq.

Peralihan untuk pemerintahan demokratik di Mesir memang bergelora sejak jeneral tentera, diketuai Menteri Pertahanan Mesir zaman Mubarak selama 20 tahun, mengambil alih tampuk pemerintahan daripada presiden yang disingkirkan itu Februari tahun lalu. – AP

Tiada ulasan: