19 Julai 2012

Ditipu bomoh muda

29 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang ‘tok bomoh’ muda berjaya memperdayakan seorang warga emas menyerahkan rantai berlian sebagai upah bagi perubatan membuang ‘minyak orang mati dibunuh’ di rumah mangsa di Kampung Losong Haji Mat Shafie, di sini, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, ‘tok bomoh’ berkenaan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan menipu mangsa, Wan Ngah Embong, 71, mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu.

Tertuduh, Norasman Mohd Sidi, 26, dari Lorong Kemunting, Pasir Panjang, di sini, mengaku tidak bersalah memperdayakan dan menyatakan kepada mangsa bahawa dia boleh memberi bantuan perubatan untuk membuang ‘minyak orang mati dibunuh’ yang kononnya ditanam di rumah mangsa.

Norasman mengaku tidak bersalah memperdaya mangsa dengan tipu helah sehingga mangsa menyerahkan seutas rantai emas bertatahkan berlian sebagai upah tugasannya itu dalam kejadian di Kampung Losong Haji Mat Shafie, kira-kira jam 11 pagi, 18 Jun 2008.

Dengan itu, Norasman mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat, selain boleh juga dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Aizat Ashari di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

sinar harian/-

Tiada ulasan: