25 Ramadhan 1433H. [MOD] -
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya),
maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur” (Surah Al-Baqarah ayat 185).
Syukur dan tahniah kepada sebuah parti kebangsaan-sekular yang tersohor di negara ini kerana sudah meniru program-program yang kebiasaannya dibuat oleh Gerakan Islam.
Kenyataan ini saya kemukakan apabila meneliti sebuah akhbar harian, hari ini (23 Ramadhan1433/12 Ogos 2012) pada laman 10 yang kononnya ada sebuah parti itu menganjurkan tadarus al-Quran yang disertai 1,000 anak muda.
Sekadar ingatan, pihak Kerajaan Negeri Kelantan setakat ini telah mengadakan 20 siri tadarus al-Quran pada setiap Ramadan. Ini bermakna selama 22 tahun pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan telah 20 tahun berturut-turut (sejak tahun 1992) program tadarus menjadi amalan di semua jajahan dan mukim. Tadarus Kerajaan Negeri ini telah disertai ratusan ribu orang pada setiap tahun (sebulan Ramadan). Misalnya pada tahun lalu sahaja untuk tempoh satu petang diadakan Tadarus Anak Muda melibatkan 10,000 anak muda berhimpun di Padang Perdana, Kota Bharu. Ini sebagai cara Kerajaan Negeri membudayakan tadarus sebagai amalan yang disunnah oleh Nabi Muhammad SAW.
Justeru, cara Gerakan Islam akan tetap menghidupkan amalan tadarus sebagai satu tarikan yang pastinya dicukai oleh Allah dan rasul-Nya. Maka bagi Kerajaan Kelantan melaksanakannya atas niat untuk menyuburkan budaya al-Quran dalam kehidupan seharian. Sesuai dengan kesedaran baru anak muda sekarang yang mahukan penghayatan al-Quran.
Sesungguhnya program ke arah penghayatan al-Quran hanya ada dalam parti yang berjuang atas nama Gerakan Islam. Sekiranya ada parti kebangsaan-sekular yang meniru-niru cara Gerakan Islam, maka boleh jadi ia hanya sebagai kempen mendapat tarikan anak muda. Ini kerana cara kempen sebenar bagi parti seperti itu ialah kebendaan – fokusnya material, harta, dan keduniaan.
Ingatlah, sebagaimana bapa munafik Abdullah Bin Ubai yang sanggup membina masjid dirar atas semata-mata ingin menyaingi masjid nabi yang begitu makmur. Kononnya dengan cara itu, orang ramai akan beralih kepadanya. Ternyata cara kempen Abdullah Bin Ubai itu ditolak oleh Nabi dan umat Islam. Justeru cara kempen seumpama itu adalah bahaya kepada masyarakat.
Apa yang dikehendaki oleh Islam ialah sebagai firman-Nya:
“…Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki daripada limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agama-Nya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas)…” (Surah Al-Muzammil ayat 20).
Natijahnya, al-Quran adalah kalam Allah yang wajib dibaca dan diamal, bukan semata-mata diprogramkan untuk berkempen. Amatlah bahaya apabila ada yang bertadarus (membaca) al-Quran bertujuan meniru-niru.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan