14 Ogos 2012

Ramai rasai Umno meniti di benteng akhir

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KETEREH: Peristiwa yang berlaku sekarang di mana semakin ramai menyertai PAS dan Pakatan Rakyat sebenarnya pernah terjadi ketika Nabi Muhammad saw berjaya membuka kota Mekah.

Ketika itu berbondong-bondong orang Musyrikin Mekah memeluk Islam kerana mereka melihat Islam sudah berada di ambang kemenangan dan dapat memerintah negeri.

Speaker Dun Kelantan, Datuk Nassaruddin Daud (gambar) berkata, begitu juga dengan suasana yang berlaku sekarang, di mana ramai melihat PAS dan Pakatan Rakyat sudah berada di ambang kemenangan pada pilihan raya ke-13.

“Sekarang semua golongan menyertai PAS termasuk mantan pegawai tertinggi polis, tentera, pegawai tadbir, ahli korporat, artis bahkan menteri kabinet,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Al-Mukarabbin, Kampung Bechah Kura, Peringat kelmarin.

Nassurudin yang juga Adun Meranti berkata, Umno sekarang terpaksa mencipta helah dengan memberi gambaran buruk terhadap PAS, PKR dan DAP.

Katanya terbaru mereka mengatakan mengundi DAP haram kerana DAP menentang pelaksanaan hudud.

“Kalau DAP menentang hudud munasabah kerana mereka bukan Islam, tapi bagaimana dengan Umno yang menentang hudud sedangkan mereka orang Islam.

“Hukum hudud diwajibkan ke atas orang Islam sahaja sementara bukan Islam tidak tertakluk kepada hukum tersebut,” katanya.

Sementara itu pegawai penyelidik bidang politik di Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Muhamad Zainal Abidin Hussin berkata, sudah tidak ada lagi parti yang menang sejak zaman kemerdekaan terus kekal berkuasa di dunia sekarang kecuali Umno.

Katanya, Umno terpaksa melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kuasa, biar pun nasibnya sudah tidak menyebelahi mereka sekarang.

"Masa untuk Umno sudah luput, jadi mereka terpaksa mencuba pelbagai ramuan awek muda kononnya untuk menyambung jangka hayat. Ramuan itu antaranya wang ringgit dan undi pos," ujarnya.

harakahdaily/-

1 ulasan:

HUDA AL HADI berkata...

Wahai saf pimpinan bersedialah dengan hamparan program tarbiah dan pengabdian sebagai hamba allah yang mentaati Allah dan Rasul kepada muhajirin bagi menyatukan saf dengan Al Ansarin. Ianya amat penting kerana penghijrahan banyak melibatkan bakat pemimpin. Mereka perlu ditarbiahkan dengan misi Allah dan Rasul disamping memantap hala perjuangan seiring dengan tuntutan agama.