25 Ramadhan 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapat berita terkini dari Arakan berkenaan nasib umat Islam Rohingya tertindas menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam seminggu lagi.
Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid, sejak dari Ramadhan umat Islam di sana tidak boleh solat hampir semua di masjid pada semua waktu terutama di bandar.
“Hanya masjid di kampung sahaja yang dibenarkan solat Zohor dan Asar sahaja. Solat Jumaat tidak dibenar sama sekali.
“Hanya dibenarkan 10 orang sahaja, itu pun perlu bagi senarai nama kepada pihak polis. Solat tarawih tidak dibenarkan sama sekali di semua masjid,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, di daerah Maungdaw terdapat 178 masjid dan surau sementara di kawasan bandar ada lebih kurang 20 masjid.
Menurutnya, hampir semua harta di rumah etnik Rohingya yang diserang dirampas terutama di kawasan kuarter 5, selatan Maungdaw.
Beliau menjelaskan, kebanyakan mereka tidak dapat berpuasa kerana ketiadaan makanan sama sekali.
Tambahnya lagi, jika ada yang berpuasa hanya memakan nasi sahaja tanpa sebarang lauk dan meminum air telaga dan air hujan kerana sekarang musim hujan.
Menurut Azmi, makanan tidak dapat dibeli kerana tidak selamat untuk membeli di kedai etnik Rakheine dan memang, tidak dibenar menjual makanan kepada orang Islam, jika ada yang menjual dijual dengan harga dua kali ganda.
“Kesengsaraan kaum Rohingya pada bulan Ramadhan kali ini amat meruncing. Laporan yang Mapim terima jelas menunjukkan bahawa mereka tidak akan menikmati Aidil Fitri untuk tahun ini,” ujarnya.
Justeru, kata Azmi, Mapim sangat mengharapkan semua pihak dari kalangan umat Islam di seluruh negara tidak melupakan penderitaan saudara Islam di Arakan.
“Mereka sangat mendambakan sumbangan bantuan dengan kadar segera,” ujarnya.
Sehingga ini, kata Mohd Azmi bantuan makanan sebanyak 5 kontena sudah siap dihantar.
Menurutnya, Mapim hanya menunggu kebenaran masuk ke Arakan dan kesediaan pihak kerajaan untuk kapal kargo masuk ke pelabuhan.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan