07 Ogos 2012

CIJ lancar Hari Internet Blackout

18 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia hari ini mengumumkan hasratnya untuk melancarkan Hari Internet Blackout pada 14 Ogos 2012.

Ia merupakan sebahagian daripada kempen menentang Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 2012 yang diwartakan pada 31 Julai lalu.

Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan para pengguna Internet tentang kesan negatif pindaan ini terhadap kebebasan berinternet.

Hari Internet Blackout ini mengambil contoh usaha yang dilakukan aktivis-aktivis di Amerika Syarikat dan New Zealand untuk memperjuangkan kebebasan berinternet di negara masing-masing.

Untuk tempoh 24 jam, para pengguna Internet yang berkunjung ke laman-laman web yang mengambil bahagian akan dapat melihat paparan yang mempunyai mesej kempen tersebut.

CIJ menyeru para pengguna Internet di Malaysia untuk menyertai kempen ini dengan memaparkan paparan yang direka khas tersebut pada laman web serta blog mereka.

Pengguna Facebook dan juga Twitter juga digalakkan menukar gambar profil dan avatar dengan warna hitam atau gambar yang boleh dimuat turun melalui CIJ.

Pegawai Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, Masjaliza Hamzah berkata objektif pelaksanaan kempen tersebut ialah untuk menggesa Kerajaan untuk menarik semula pindaan terbabit yang dipercayai telah diluluskan secara tergesa-gesa di parlimen empat bulan lalu.

Sebelum ini, pemerhati media tersebut telah melancarkan e-petisyen untuk menggesa pihak Kerajaan menarik semula Seksyen 114A Akta Keterangan 2012 kerana pindaan tersebut dikatakan mengancam kebebasan berinternet dan mengandaikan kesalahan di pihak tertuduh tanpa dibuktikan kesalahannya terlebih dahulu.

Petisyen yang ditandatangani oleh lebih daripada 3300 pengguna Internet tersebut kemudiannya diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew di parlimen.

CIJ juga telah menganjurkan forum terbuka bertajuk ‘Seksyen 114A: Pencegahan Jenayah atau Tapisan Internet?’ untuk membincangkan kesan-kesan pindaan terbabit.

Pindaan kedua terhadap Akta Keterangan itu telah menarik perhatian ramai pihak termasuk para peguam dan juga pemilik restoran yang menyedia kemudahan Wi-Fi.

Seksyen 114A bukan sahaja mengandaikan kesalahan di pihak tertuduh, bahkan juga menjadikan individu-individu yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan Internet seperti ruang forum, blog dan pengehosan web bertanggungjawab terhadap segala bahan yang terkandung dalam perkhidmatan mereka.

Di bawah pindaan terbaru ini, seseorang pengguna Internet yang akaun atau komputernya digodam dianggap bertanggungjawab terhadap segala bahan yang dimuat naik atau turun oleh penggodam.

Kempen untuk Hari Internet Blackout ini telah menerima sambutan yang positif daripada kalangan pengguna Internet.

Laman-laman web popular seperti laman jual beli lelong.com.my, komuniti forum cari.com.my, dan portal hiburan gua.com.my telah menyatakan hasrat untuk menyertai kempen ini.

Selain itu, laman berita seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Free Malaysia Today, The Nut Graph dan Digital News Asia turut sama menunjukkan minat.

Blogger seperti Niki Cheong dan Nat Tan juga akan turut serta dalam kempen ini.

Pengguna Internet yang ingin mengambil bahagian boleh menghubungi CIJ melalui emel cijmalaysia@gmail.com atau telefon di talian 03-4024 9840.

Untuk keterangan lanjut sila berkunjung ke blog rasmi kempen di www.stop114a.wordpress.com atau laman Facebook di https://www.facebook.com/evidenceamendmentact.

Tiada ulasan: