08 Ogos 2012

Ibu Tunggal Perlu Bantuan Segera

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BEKENU - Baru-baru ini PAS Miri telah membuat lawatan dan memberi
sumbangan Ramadhan di kampung Dagang Bekenu dalam kawasan parlimen
Sibuti. Semasa lawatan tersebut PAS Miri telah berkunjung ke sebuah
rumah yang agak usang dalam kampung tersebut.

Pemilik rumah tersebut Puan Zaida bt Tuah seorang ibu tunggal yang
telah membeli rumah tersebut lebih 10 tahun yang lalu dengan harga
RM8000. Puan Zaida tinggal bersama dengan anak dan cucunya, mereka
hanya memunggut dan berjual hasil dari hutan ke pekan Bekenu. Beliau
juga mempunyai seorang anak yang kurang upaya atau OKU (Orang Kurang
Upaya).

Beliau pernah memohon bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)
lebih dari 4 kali namun sampai ke hari ini masih belum berhasil
walaupun ada pihak tertentu yang pernah datang membuat pengukuran di
tapak kediaman beliau. Beliau juga mengadu yang pihak Bantuan
Kebajikan Masyarakat atau pun Baitulmal tidak pernah datang menjengok
atau memberi bantuan kepada nasib keluarga beliau yang kurang bernasib
baik ini.

Yang peliknya, walaupun beliau seorang yang setia dengan BN, sehingga
rumah beliau dipasang dengan bendera BN, payung BN, namun pihak
kerajaan BN yang memerintah sekarang mengabaikan nasib beliau
sekeluarga.

Pihak PAS amat simpati dengan nasib keluarga tersebut dengan melakukan
inisiatif awal dengan memberi bantuan keperluan harian kepada beliau
sekeluarga dalam bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini agar beliau
sekeluarga dapat menyambut Aidil fitri dengan perasaan gembira seperti
kebanyakan keluarga lain yang hidup disekitar kampung tersebut.

Kita berharap pihak yang berwajib serta badan Kebajikan Masyarakat dan
Baitulmal dapat datang membantu meringankan bebanan kelurga tersebut
bukan saja semasa menyambut Aidil fitri bahkan terus memberi bantuan
keperluan harian mereka secara bulanan.

Kita mendesak agar pihak Bantuan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal
turun padang dengan memberi bantuan segera dan menyalurkan keperluan
harian kepada keluarga tersebut.

Semoga dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini dapat
menyedarkan kita betapa masih ramai lagi orang yang amat memerlukan
bantuan akibat dari tekanan hidup dalam kemiskinan dan kesusahan.

Kepada pihak yang berkenaan, marilah kita sama-sama membantu
meringankan bebanan mereka ini tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik agar Allah memberkati usaha kita.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: