08 Ogos 2012

Arab Saudi: Myanmar laku 'pembersihan etnik'

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Arab Saudi menuduh pihak berkuasa Myanmar melakukan 'pembersihan etnik' terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya di barat negara itu.

Agensi berita SPA yang memetik kenyataan Menteri-menteri Kabinet Arab Saudi semalam berkata, kerajaan Islam itu mengutuk kempen penghapusan etnik dan serangan ganas yang dilancarkan ke atas penduduk Islam Rohingya.

Katanya, tindakan sedemikian turut menyalahi hak asasi manusia disebabkan penduduk minoriti itu dipaksa meninggalkan tempat asal mereka.

Barisan Kabinet yang dipengerusikan Raja Abdullah juga mendesak masyarakat antarabangsa sama-sama memikul tanggungjawab menyediakan perlindungan dan kehidupan yang lebih baik kepada penduduk Islam di Myanmar, sekali gus menghalang lebih banyak kehilangan nyawa.

Rusuhan etnik dan agama yang tercetus di Rakhine, barat Myanmar sejak Jun lalu, mengorbankan 80 nyawa, termasuk tiga kematian terbaru yang dicatatkan kelmarin.

Kelmarin, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang beribu pejabat di Arab Saudi turut mengemukakan cadangan untuk menghantar pasukan misi khas ke Myanmar bagi menyiasat dakwaan berhubung pembunuhan beramai-ramai masyarakat Islam Rohingya.

Kerajaan Myanmar menganggarkan kira-kira 800,000 etnik Rohingya tinggal di negara itu, dan kebanyakan mereka dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh. - AFP

Tiada ulasan: