08 Ogos 2012

PAS Kota Samarahan santuni masyarakat

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA SAMARAHAN: Melihat kesusahan dan penderitaan sebilangan masyarakat yang kurang bernasib baik, PAS Kota Samarahan terpanggil untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Bersempena Ramadhan Al-Mubarak, seramai 105 orang penerima yang terdiri daripada golongan fakir miskin, anak yatim, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan warga emas dikenalpasti untuk menerima sumbangan itu.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, dalam program Sekampit Beras Negara Kebajikan.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Baru dan Kampung Pengkalan Kuap baru-baru ini berkata, program sebegini amat bermakna dan membahagiakan dalam kehidupan mana-mana insan apabila dapat menggembirakan hati insan lain yang kurang bernasib baik, terutamanya anak-anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rekod pendapatan tertinggi pada 2011 iaitu melebihi RM4 billion, katanya, sepatutnya pihak kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN, hendaklah lebih cakna atau prihatin kepada rakyatnya.

"Bukan sekadar membuat pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan rohani kepada semua rakyat," katanya.

Hadir sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Samarahan, Zul Ramzi beserta dengan pimpinan Pemuda negeri dan Kawasan Petrajaya.

Harapan beliau agar sumbangan itu dapat mengurangkan bebanan rakyat dalam bulan Ramadhan ini tambahan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyatakan kesyukuran dan mengakui bahawa PAS merupakan parti yang prihatin dan benar-benar bersifat rakyat, sekaligus menepati slogan yang dibawa PAS iaitu Membangun Negara Berkebajikan.

Kehadiran Abang Ahmad Kerdee dan rombongannya dirai dengan penuh kegembiraan oleh penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan nelayan.

Sementara itu, Abang Ahmad dan rombongannya juga turut membuat tinjauan khas ke tempat pelupusan sampah di Kota Samarahan yang menjadi masalah kepada masyarakat sekitar kawasan ini.

Dari tinjuan yang dilakukan katanya, tempat ini tidak diselenggara dan diurus dengan baik, menyebabkan bau busuk dan sampah sarap terbiar begitu sahaja.

Tambah memburukkan lagi keadaan, kawasan ini berdekatan dengan penempatan penduduk tempatan, antara kampung yang berdekatan ialah Kampung Plaie, Kampung Sungai Batu, Kampung Rembus, Kampung Jegoi dan Kampung Baru.

Menurut penduduk Kampung Sungai Batu yang ditemui, masalah bau busuk akan bertambah buruk apabila waktu hujan dan mereka telah menanggung masalah ini sejak 20 tahun yang lalu.

Menurut Abang Ahmad Kerdee turut menyatakan kekecewaan beliau mengenai pengurusan pusat pelupusan sampah yang begitu teruk.

"Bukan itu sahaja, aktiviti pembakaran terbuka di pusat pelupusan sampah ini memburukkan lagi keadaan," katanya.

Justeru katanya, penduduk sekitar berharap agar PAS Kawasan Kota Samarahan dapat membawa permasalahan ini ke pihak berkuasa tempatan agar penderitaan mereka selama 20 tahun akan berakhir terutama sebelum bulan Syawal menjelma tidak lama lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: