30 Ogos 2012

Janji Dicabuli - Kerajaan Pusat Gagal Siapkan Hospital Shah Alam

11 Syawal 1433H. [MOD] -

Saya baru terima laporan kemajuan projek Hospital Shah Alam. Nampak gayanya sudah jauh ketinggalan berbanding dengan yang telah dijadualkan. Sudahlah 2 tahun terbiar terbengkalai begitu sahaja, sudahlah terpaksa ditambah kos dengan harga beratus juta ringgit. Sekarang tergendala lagi?

Sepatutnya Hospital ini siap pada tahun 2011 pada asalnya. Tarikh baru dikatakan hujung 2013.

Dengan kelewatan di tapak, mungkin terlajak lagi! Sila lihat pada laporan Skala JKR yang disertakan dibawah. Ia menunjukkan jumlah hari ketinggalan sebanyak 61 hari. Dari segi % kerja pula, hanya 9.7% dicapai dalam masa 9 bulan! Pukul rata 1% sebulan!

Adalah amat memalukan sekiranya projek seperti ini, ditengah-tengah bandaraya Shah Alam, bukan ditengah hutan, tidak dapat dilaksanakan oleh pihak Kementerian dengan baik. Rasa-rasanya Menteri Kerja Raya kena buat sesuatu kot? Apa? Letak jawatan? Hmmm... kena tunggu kucing bertanduklah jawabnya. Adakah mereka memahami bahawa jawatan datang dengan tanggung jawab dan juga pertanggung-jawaban?

Kalau tanya golongan yang agak kuno, mungkin akan dikatakan tapak itu berhantu. Kena sembelih kambing dan sebagainya. Tapi kita tahu itu semua karut dan bertujuan memindahkan kesalahan dan menutup kegagalan diri. Adakah pihak kementerian juga akan menggunakan alasan yang sama?

WaLlahu 'Alam

YB KHALID SAMAD

Tiada ulasan: