09 Ogos 2012

Kamera AES, mendidik atau cari untung

20 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Keputusan kerajaan memasang kamera AES di lokasi tertentu dapat dilihat daripada pelbagai aspek. Sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan, saya berasa terpanggil untuk memberi pandangan tentang isu ini.

Jika kerajaan benar-benar mahu mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang, maka beberapa perkara perlu dilakukan. Kerajaan mestilah meletakkan kamera tersebut di kawasan yang dikenal pasti kawasan kemalangan maut – bukan separa maut atau sebagainya. Kamera pula bukanlah disorok di dalam semak.

Kerajaan mestilah mengisytiharkan kepada umum melalui risalah dan media massa tempat-tempat diletakkan kamera tersebut. Pada masa yang sama, tanda amaran hendaklah diletakkan beberapa ratus meter sebelum sampai ke kawasan kamera AES.

Bagi pengguna yang waras, sudah pasti mereka akan memperlahankan kenderaan agar berhati-hati melalui kawasan maut yang diwartakan itu. Jika ada pemandu yang tidak mengendahkan amaran tersebut dan terus memandu melebih had laju yang ditetapkan, eloklah dia disaman!

Dalam perkembangan sekarang, saya khuatir penggunaan kamera AES ini bukanlah bertujuan mendidik pemandu tetapi lebih kepada perniagaan. Maklumlah, semakin banyak saman dikeluarkan, makin banyaklah keuntungan yang diperoleh syarikat yang diberi tanggungjawab itu – juga semakin banyak duit yang dapat dikutip daripada rakyat.

Ingatlah, tujuan sebenar ialah mendidik rakyat supaya berhati-hati di jalan raya dan mengelakkan atau mengurangkan kemalangan maut, bukan mendera rakyat. Saya bimbang, pelaksanaan sistem saman baru ini barat “ada udang di sebalik batu”.

Tidak mustahil jika Umno-BN melalui PDRM dan syarikat yang dilantik mengendalikan sistem kamera/saman berusaha mengumpul dana bagi menghadapi PRU13 yang akan datang. Mungkin pandangan in keterlaluan tetapi sebagai rakyat, kami boleh membuat pelbagai tafsiran. Maklum sajalah, setiap saman bernilai RM2000. Bayangkan berapa banyak duit yang boleh dikutip!

Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan benar-benar iklas “mendidik pengguna jalan raya” melalui dasar yang lebih telus. Bukan mengambil kesempatan menganiaya rakyat melalui dasar yang diperkenalkan.

Tiada ulasan: