09 Ogos 2012

Lepaskan rindu di hotel bajet

20 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BANDARAYA MELAKA - Dikala umat Islam sibuk menunaikan ibadah puasa, masih ada segelintir pasangan kekasih mengambil kesempatan melampiaskan nafsu.

Buktinya, dua pasangan dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) ketika berdua-duaan di dalam dua bilik di sebuah hotel bajet di Jalan Tun Ali, di sini.

Kedua-dua wanita tempatan berusia 20-an itu didapati sedang bersama pasangan mereka, warga Indonesia dan Bangladesh ketika operasi bersepadu dilakukan Jaim.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaim, Rahimin Bani berkata, siasatan awal mendapati semua pasangan terbabit tidak mempunyai ikatan yang sah apabila gagal menunjukkan kad per akuan nikah mereka.

Lebih mengejutkan, mereka turut mendakwa sering bertemu dan bermalam di hotel di bandar raya ini untuk melepaskan rindu.

“Daripada pengakuan mereka, kita boleh katakan mereka menjadikan hotel bajet ini sebagai ‘port’ untuk mereka memadu asmara,” katanya, semalam.

Menurutnya, semua mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dibawa ke pejabat Jaim di Bukit Palah untuk direkodkan keterangan.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntukkan denda sehingga RM3,000 untuk lelaki dan RM2,000 untuk wanita jika bersalah," katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: