09 Ogos 2012

Umum lokasi AES jika ikhlas mahu didik pemandu

20 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut kerajaan melalui PDRM memaklumkan lokasi-lokasi kamera AES di seluruh negara jika benar-benar ikhlas untuk mendidik pengguna jalan raya.

“SAMM menuntut supaya Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pengangkutan, JPJ mahupun PDRM itu sendiri supaya menyiarkan lokasi-lokasi kamera AES di seluruh negara supaya kenderaan lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan raya dalam musim perayaan ini,” kata Penyelaras Kebangsaan SAMM, Yaser Sheikh Abd Rahman.

Ia, katanya bertepatan dengan kenyataan kerajaan bahawa sistem AES bukan untuk keuntungan syarikat tetapi mendidik pengguna malah dengan penyiaran lokasi kamera ini akan lebih meningkatkan kesedaran pengguna kepada perception of being caught seperti yang dimahukan oleh kerajaan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, jika kerajaan gagal mengumumkan lokasi-lokasi kamera AES tersebut maka akan menyerlahkan sikap sebenar dan matlamat mengaut keuntungan semata.

Sistem AES iaitu satu sistem perangkap kesalahan lalu lintas akan mula beroperasi dan saman yang dikendalikan syarikat akan dilaksanakan bermula 12 Ogos ini.

Yaser berkata, walaupun terdapat banyak bantahan tetapi terhadap penswastaan saman lalu lintas, seperti biasa pemerintah tidak mempedulikan suara rakyat dan tetap melaksanakan sistem saman yang akan menguntungkan pemodal besar ini.

Menurutnya, dilaporkan pemilik kenderaan boleh disaman sehingga RM2,000 kerana sistem itu.

Katanya lagi, untuk melaksanakan sistem itu pelbagai alasan lunak dilagukan ke telinga rakyat, antaranya menyatakan bahawa AES bukan untuk keuntungan syarikat tetapi bagi mendidik pengguna.

Pada perayaan ini, ujarnya SAMM juga menasihatkan semua pengguna kenderaan mempertingkatkan langkah berjaga-jaga dari faktor kecelakaan jalanraya mahupun kehilangan wang ringgit anda akibat disaman syarikat swasta.

SAMM sendiri, jelasnya akan mengadakan kempen keselamatan jalanraya dengan cara yang tersendiri di beberapa lokasi di seluruh negara.

“Berhati-hati di jalanraya, ingatlah orang yang tersayang dan peranan besar kita kepada negara,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: