8 Syawal 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU: Isu khutbah yang dibangkit Ibrahim Ali adalah satu tuduhan yang melulu dan tidak benar sama sekali serta berniat jahat untuk melagakan kerajaan negeri pimpinan PAS dengan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik).
Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Hasan Mahmood berkata, bagi mana-mana pihak yang meneliti isi khutbah tersebut, sekalipun ia adalah keluaran Dewan Ulama PAS namun tidak satu pun nama pertubuhan politik yang disebut sama ada PAS mahupun Umno.
“Sebaliknya, sebagaimana tajuk yang tertera pada khutbah iaitu menentang kerosakan dan kezaliman di dalam negara adalah jihad yang paling afdhal.
"Khutbah secara umumnya mengajak umat Islam agar sentiasa berjihad dan jihad paling utama dalam konteks masa kini adalah jihad untuk mempertahankan Negara umat Islam daripada kezaliman dan kerosakan yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak.
“Kenyataan ini sebagaimana yang diucapkan oleh ulama terulung dunia Islam iaitu Prof. Doktor Yusof Al-Qaradhawi, penerima anugerah tokoh maal hijrah oleh kerajaan Malaysia dalam kitab beliau min fiqh daulah,” katanya.
Presiden Perkasa dan juga ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 24 Ogos mendakwa kandungan khutbah Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan berunsur perpecahan dan berbaur politik. (gambar)
Tambah Hassan, khutbah tersebut juga mengajak agar masyarakat memanfaatkan sistem demokrasi dalam negara Malaysia untuk mendaulatkan Islam di tempat yang tertinggi sesuai dengan kedudukannya yang mulia.
Selain itu, khutbah Dewan Ulama PAS mengambil pendekatan yang berbeza dengan teks-teks khutbah lain dengan menyeru umat Islam agar dapat menggunakan saluran Pilihanraya untuk memilih calon yang dapat menjalankan tangungjawab yang diamanahkan sebagaimana yang dianjurkan oleh Agama sekaligus menjadikan ia sebagai aspek terpenting dalam pentadbiran Negara.
Perkara ini diingatkan oleh Dewan Ulamak PAS sebagai kandungan penting Agama dan bukannya sebagai agenda politik kotor sebagaimana didakwa.
Beliau juga turut menyelar kenyataan pengasas pondok genting tumpat, Abdullah saamah sebagaimana yang dilaporkan oleh Mingguan Malaysia bertarikh 26 Ogos yang mengaitkan kerajan PAS Kelantan dengan membenarkan imam dan khatib membaca khutbah Aidilfitri yang berunsur politik serta membawa anasir perpecahan umat Islam.
Tindakan beliau ini seolah-olah hanya menjadi ‘pak turut’ kepada Ibrahim Ali yang hanya pandai menuduh tanpa usul periksa. Beliau sebelum ini lantang dengan ‘fatwa’nya yang penuh kontroversi apabila menyatakan DAP adalah kafir harbi dan haram mengundinya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan