27 Ogos 2012

Zunar adakan pameran solo pertama di Malaysia

8 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kartunis Zunar akan mengadakan pameran kartun solo yang pertamanya di Malaysia 1 - 9 September ini di Galeri Shah Alam.

(Zunar dengan hasil nukilannya yang bakal dipamerkan)

Pameran kartun solo bertajuk "Zunar" akan bertempat di ruang pameran 1, Galeri Shah Alam dan berlangsung dari 1 hingga 9 September depan.

Ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada 1 September jam 11 pagi di tempat yang sama.

"Ini adalah pameran pertama saya di tanahair. Sebelum ini saya membuat dua pameran di Bilbao, Sepanyol dan di London bertema 'Berjuang Melalui Kartun'," kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkefly Anuar Ulhaq.

Sebanyak 150 buah karya, kesemuanya mengenai senario politik tanah air yang dihasilkan dari tahun 1999 hingga kini akan dipamerkan.

"Dengan pameran ini, diharapkan peminat dan orang ramai akan dapat melihat lukisan saya dengan lebih dekat dan memahami maksud dan mesej yang disampaikan," kata Zunar dalam kenyataannya kepada media.

Zunar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor dan Galeri Shah Alam kerana telah memberi sokongan bagi menjayakan pameran ini.

Pameran ini terbuka kepada setiap hari kepada orang ramai dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: