17 Ogos 2012

‘Lupakan kisah lalu’

28 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SEPANG: “Tak nak ceritalah. Saya nak lupakan semua, saya dah putus dengan dia,” kata bekas pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Nur Shahira Samsuri, 22, yang terpedaya dan dilarikan kekasihnya ke Lombok, Indonesia pada 11 Jun lalu.

Katanya, dia enggan mengingati kembali peristiwa itu kerana mahu membina hidup baru termasuk menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana bakal menyambung pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bulan depan.

“Saya tak berapa nak ingat. Saya kenal dia di sini pun ketika dia bekerja di kantin sebagai pembancuh air. Dia janji nak berkahwin dengan saya.

“Hidup di Lombok sederhana dan saya tinggal di rumah keluarganya sepanjang berada di sana,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) atas bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), kira-kira jam 10.45 malam, kelmarin.

Kepulangannya disambut Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim serta ibu bapa gadis terbabit, Hafilah Man, 49, dan Samsuri Husin, 51.

Jun lalu, Nur Shahira disedari hilang dari rumah selepas mengikuti seorang lelaki berasal dari Lombok, dikenali sebagai Nasib.

Difahamkan, dia mengenali lelaki yang bekerja sebagai pembancuh air itu ketika membantu neneknya di sebuah kantin di Seberang Prai, Pulau Pinang.
Ketika ditanya sama ada dia sudah berkahwin atau tidak, Nur Shahira enggan menceritakan perkara itu selain tidak mahu mengulas layanan diterima sepanjang bersama keluarga kekasihnya di Lombok.

Malah, sepanjang pertemuan dengan keluarganya, Nur Shahira kelihatan biasa dan tidak menitiskan air mata serta tidak banyak bercakap sepanjang temu bual bersama wartawan.

Bapanya, Samsuri yang juga seorang pensyarah berkata, mereka sekeluarga bersyukur dapat menyambut Aidilfitri bersama anaknya dan mahu Nur Shahira menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Pada masa sama, KP1M turut membawa pulang Ismadani, berusia tiga tahun, iaitu anak kepada seorang ibu muda, Suriani Abdul Wahab, 21. Kepulangan kanak-kanak itu bersama bapanya yang juga suami wanita terbabit, Madon Aban, 32, berasal dari Lombok.

Kisah Suriani yang mahu pulang bertemu keluarganya di Baling, Kedah selepas empat tahun berkahwin dan menetap di Lombok pernah dilaporkan di dalam Harian Metro pada Mei lalu.

Ibu muda itu kemudian pulang ke tanah air pada 29 Mei lalu hasil bantuan KP1M, tetapi pada masa berkenaan anaknya tidak dapat pulang bersama kerana masalah dokumentasi.

Suriani berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan termasuk KP1M kerana membawa pulang insan kesayangannya, sekali gus membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama.

“Saya sangat bersyukur dapat bertemu kembali dengan suami dan anak kerana sangat merindui mereka selepas kira-kira dua bulan tidak bertemu,” katanya. Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau berharap perkara berkenaan menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia terutama anak gadis supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan janji manis lelaki.

“Perkara ini sepatutnya menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia. Saya tak tahu jumlah sebenar anak gadis Malaysia yang berada di Lombok kerana kita hanya bantu sekiranya ada ibu bapa melaporkan kepada KP1M,” katanya.

metro/-

Tiada ulasan: