17 Ogos 2012

Monorel rosak lagi, 200 penumpang terkandas

28 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan monorel dari stesen Imbi ke Bukit Bintang di sini tergendala hampir sejam pagi ini apabila sebuah tren mengalami kerosakan kecil, menyebabkan kira-kira 200 penumpang terkandas.

Ia kejadian kedua melibatkan monorel dalam tempoh seminggu. Lebih 180 penumpang terkandas apabila monorel mengalami kerosakan dekat Brickfields.

Dipetik Bernama, jurucakap KL Star Rail, Azhar Ghazali berkata bagaimanapun kejadian pada 8.35 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan kepada penumpang.

Beliau berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada pemandu monorel pada 8.45 pagi dan sebuah tren penyelamat dihantar ke lokasi bagi memindahkan penumpang secara "tren-ke-tren" di mana kesemua mereka berjaya dipindahkan 10 minit selepas itu.

"Operasi tidak melibatkan pihak luar. Semua penumpang selamat dan ketika kejadian, enjin, pendingin hawa dan lampu monorel berfungsi seperti biasa," katanya kepada hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan disambung semula 30 minit kemudian dan punca kejadian masih disiasat.

"Bagi syarikat pengendali KL Star Rail, saya memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan tersebut," katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: