28 Ramadhan 1433H. [MOD] -
Harakah kali ini merupakan edisi terakhir penghujung Ramadan. Ia berada di pasaran (Khamis) tiga hari sebelum Aidilfitri. Pastinya suasana sudah berubah. Kemeriahan hari raya terasa di mana-mana. Mungkin ramai sudah pulang ke kampung halaman atau masih sibuk membuat persiapan terakhir.
Tiga hari, jika dikira bermula pagi Khamis ini sehingga senja Sabtu nanti, bermakna masih berbaki lebih kurang 60 jam untuk kita menghirup dan menikmati Ramadan yang agung. Sambil bermuhasabah bagaimana 26 hari yang berlalu telah dimanfaatkan (ataupun dibazirkan), kita tidak sepatutnya lalai dengan kesempatan yang masih ada. Rebutlah peluang yang belum pasti dapat kita dakap lagi tahun depan.
Soalnya, tentulah sukar dan sulit sekali kita memberikan tumpuan untuk beribadah setulusnya ketika perhatian lebih difokuskan kepada karenah menyambut Aidilfitri. Di malam-malam akhir Ramadan, yang menjanjikan "pembebasan daripada api neraka" ini, mungkin ramai yang terpaksa berasak-asak di perhentian bas dan stesen keretapi untuk pulang ke kampung. Tidak kurang juga yang menghabiskan malam sepanjang lebuh raya, kadang-kadang terpaksa mengharungi kesesakan.
Teringat saya kehidupan berkaca semasa di kampus, hampir 30 tahun lalu. Ada rakan yang cukup sensitif menjaga malam-malam akhir Ramadan, yang terselit saat-saat penuh kemuliaan, Lailatulqadar.
Sepanjang lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), rakan saya itu hanya menempah tiket untuk perjalanan siang hari untuk pulang ke desa, di Kedah. "Tak sanggup aku tidur lena di atas bas pada malam yang orang lain khusyuk sujud menyembah Ilahi, beriktikaf di masjid dan bertadarus," katanya.
Ada juga sahabat saya yang "beruzlah" dua tiga hari sebelum Syawal, khususnya untuk khatam al-Quran dan menekuni maksud ayat-ayat suci. Seorang daripadanya, pada siang terakhir Ramadan, berteleku mencapai sasaran, untuk menghabiskan bacaan al-Quran, untuk "pusingan" kedua. Saya masih ingat, pada siang 30 Ramadan itu, dia dapat menyelesaikan 11 juzuk terakhir.
Amalan berpuasa tidak dapat lari daripada kita terpanggil untuk mengingati, malah merasai, penderitaan orang susah terbiar. Namun, melihat riuh-rendah bazar Ramadan dan seribu satu menu juadah berbuka di hotel-hotel, saya tidak pasti apakah sebahagian besar kita terhimbau keprihatinan terhadap golongan melarat dan terpinggir, saudara seaqidah, dalam dan luar negara?
Ramadan juga mengingatkan kita tentang ibadah zakat. Pastinya zakat fitrah akan ditunaikan sebaik mungkin, soalnya bagaimana dengan kewajipan zakat berkaitan profesion masing-masing?
Sebagai anak daripada keluarga petani, saya melihat para pesawah cukup cermat dan berusaha untuk melayakkan diri sebagai pembayar zakat. Tiada tanda-tanda mereka cuba mencari helah untuk mengelak daripada zakat, meskipun sebahagian besar mereka masih diserkup kemiskinan. Ya, sebahagiannya wajar menerima zakat tetapi tidak "mencari helah" untuk mengelak kewajipan rukun Islam.
Seingat saya, walaupun ada pengiraan kadar zakat yang lebih "lunak" untuk bendang yang terpaksa menggunakan pam untuk saliran (5 peratus), namun mereka tetap memilih pengiraan "kaedah air hujan" (10 peratus), walaupun menyedari zakat yang perlu dikeluarkan adalah dua kali ganda lebih tinggi. Langsung tidak terasa beban untuk "membersihkan (tazkiyah) harta" mereka itu meskipun kadar zakatnya 10 peratus langsung daripada produktiviti, dan bukannya keuntungan.
Saya tidak pasti dengan ketulusan berzakat bagi orang yang berkerjaya lebih lumayan (dan profesional), walaupun kadarnya hanya 2.5 peratus, itu pun selepas ditolak perbelanjaan tertentu. Apakah ramai di antara kita menyedari -- dengan sungguh-sungguh - bahawa dalam harta kekayaan kita itu ada hak bagi golongan fakir dan miskin.
Alhamdulillah kesedaran berzakat semakin meningkat. Dahulu, mungkin kita mendengar ada wanita yang jahil tentang kewajipan zakat emas, sengaja memakai perhiasan berkenaan untuk tempoh tertentu bagi mengelak tuntutan zakat. Moral cerita itu adalah, berbeda dengan ibadah lain, misalnya haji, ramai yang mungkin mempunyai "taktik licik" untuk mengelak daripada menunaikan zakat, termasuk bagi zakat simpanan wang, terutama untuk membatalkan tempoh haul atau cukup setahun.
"Mengapa kita bersusah-payah menyimpan duit, bertahun-tahun, untuk melayakkan diri bagi menunaikan haji, tetapi amat sedikit yang berbuat demikian bagi meningkatkan diri mencapai kedudukan sebagai pembayar zakat," tegur seorang rakan, pensyarah pengajian Islam.
Isu zakat juga menyentuh soal integriti institusi pengumpul zakat, khasnya daripada segi kejujuran dan agihannya. Saya tidak mahu menyentuh lebih dalam hal berkenaan. Semoga, dalam amalan di Malaysia, tiada sebarang "salah laku" berkaitan dengannya.
Dalam pada itu, saya begitu tertarik dengan tulisan kata pengantar penerbit buku "Bersedekahlah dan Tunggu Keajaiban yang Akan Terjadi", tulisan Abu Ahmad Abdul Fattah.
Antaranya, ditekankan bahawa membela orang miskin dan melarat adalah perintah agama, sehingga al-Quran melabelkan "pembohong atau pendusta" bagi mereka yang tidak mempedulikan orang miskin dan anak yatim (al-Maun: 1-3). Ketika Allah berbicara tentang kenikmatan syurga kepada penghuninya, Ia menjelaskan hadiah itu kerana, "Dahulu mereka gemar memberi makan orang miskin, anak yatim dan para tawanan" (al-Insan: 8).
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin. Juga ribuan terima kasih kepada penderma yang budiman, yang banyak menyumbang khususnya untuk tabung membantu keluarga tahanan ISA dan golongan fakir miskin, yang dianjurkan Jabatan Pengarang Harakah.
harakahdaily/-

Tiada ulasan:
Catat Ulasan