01 Ogos 2012

NFC: Usaha Rafizi patut dipuji tetapi dihukum

12 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: DAPSY mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (BAFIA) kerana mendedahkan akaun kewangan berkenaan National Feedlot Corporation (NFC) pada pagi ini.

Ketuanya, Loke Siew Fook (gambar) berkata, tindakan pendakwaan terhadap Rafizi yang membongkarkan skandal kewangan NFC memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia bahawa pemberi maklumat yang membantu memerangi rasuah adalah sesuatu yang salah dan perlu dihukum.

Menurutnya, pendakwaan tersebut juga bertentangan dengan semangat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diluluskan Parlimen yang bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang berani tampil memberikan kerjasama dan bukti dalam kes-kes rasuah.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Najib langsung tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan segala slogan transformasi kerajaan adalah janji-janji kosong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, Rafizi sepatutnya dipuji kerana kelantangan dan keberaniannya membongkarkan skandal kewangan NFC dan membantu usaha ke arah sistem pentadbiran yang lebih telus dan bersih.

“Namun, peranan beliau bukan sahaja tidak dihargai tetapi dihukum pula dengan pendakwaan yang dihadapinya sekarang,” katanya lagi.

Justeru, katanya DAPSY menggesa pihak Peguam Negara menimbang semula kes tersebut dan menggugurkan pendakwaan terhadap Rafizi kerana tindakan mendakwa beliau di mahkamah hanya akan menimbulkan lebih banyak perasaan tidak puas hati terhadap sistem keadilan negara kita di kalangan rakyat Malaysia.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: