15 Ogos 2012

PR desak Najib tuntut Myanmar henti bunuh warga Rohingya

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa mengambil langkah proaktif bagi membantah pembunuhan kaum Rohingya yang sedang berlaku di Myanmar.

[Nurul Izzah] Mengecam pembunuhan tersebut, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menuntut ia dihentikan serta-merta.

“Masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan jangan guna alasan diplomatik untuk tidak bertindak kerana pengajaran dari pembunuhan kaum di Bosnia dan Rwanda jelas menunjukkan hanya tindakan pantas masyarakat antarabangsa seawal mungkin akan mendatangkan hasil.

“Justeru Pakatan menggesa Najib menuntut kerajaan Myanmar mengambil tindakan serta-merta untuk menghentikan pembunuhan kaum dan membenarkan masyarakat antarabangsa memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Najib turut digesa agar menuntut Asean mengarahkan kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan kaum ini kerana Malaysia memainkan peranan penting dalam membolehkan Myanmar menjadi anggota Asean sejak 1997.

“Najib juga perlu menuntut negara China, yang mana Malaysia telah mempunyai hubungan diplomatik lebih 40 tahun, dan Amerika Syarikat, yang mula melonggarkan sekatan ekonomi kerana reformasi politik di Myanmar, untuk campur tangan dan memberi nasihat kepada Myanmar bagi melindungi semua golongan minoriti dan menghentikan pembunuhan kaum,” kata Izzah.

Langkah lain termasuk, menuntut Bangladesh yang mempunyai talian diplomatik dengan Malaysia termasuk dari segi kehadiran warganegara itu yang dianggarkan lebih 500,000 di Malaysia untuk mendesak Myanmar membuka sempadan dan memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa tersebut.

“Kita juga menuntut OIC di mana Najib sedang sertai perjumpaan di Mekah untuk mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Pakistan, Maghribi, Azerbaijan dan Togo adalah ahli Majlis Keselamatan) di bawah Perkara 35 untuk campur tangan dengan serta-merta,” tegas beliau.

“Najib juga perlu menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa yang mengatakan mana-mana kerajaan yang gagal melindungi kumpulan minoriti dianggap menyemarakkan semangat perkauman serta pembunuhan kaum di Myanmar dan seluruh dunia,” tambahnya.

Menurut Izzah, Malaysia wajib bertindak pantas kerana bukan sahaja Najib telah menobatkan Malaysia sebagai mempunyai ‘Demokrasi Terbaik’ di dunia malah ia sebuah negara contoh dengan Umno sebagai parti pemerintah yang terbesar di dunia untuk membuktikan kenyataan beliau itu benar dan tidak palsu.

“Masa untuk menunjukkan kepimpinan moral sudah tiba,” cabarnya.

keadilandaily/-

Tiada ulasan: