15 Ogos 2012

Twitter PLUStrafik langkah mudah dapatkan maklumat trafik terkini

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Twitter PLUSTrafik merupakan langkah mudah PLUS untuk memaklumkan pengguna lebuh raya tentang keadaan trafik terkini, kata Ketua Komunikasi Korporat PLUS Malaysia Berhad Mohd Nizam Ismail.

Mohd Nizam berkata sejak perkhidmatan twitter di www.twitter.com/plustrafik diperkenalkan pada Januari tahun lalu, perkhidmatan ini diikuti lebih daripada 75,000 orang pengguna.

"Jumlah ini semakin meningkat setiap hari dan perkhidmatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nizam, antara lebuh raya kendalian PLUS yang boleh diakses maklumat trafik ialah Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya ELITE, Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Seremban-Port Dikson, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

"Menguruskan hampir 1,000 kilometer lebuh raya adalah tugas yang mencabar.

Oleh itu, kami perlu mempelbagaikan saluran untuk memaklumkan orang ramai tentang keadaan trafik di lebuh raya kendalian kami.

"Selain mengikuti Twitter PLUSTrafik, maklumat terkini turut dipaparkan di papan tanda elektronik yang disediakan di lokasi-lokasi strategik sepanjang lebuh raya.

"Jika ada sebarang masalah, orang ramai boleh menghubungi talian PLUSLine 1800880000 yang beroperasi 24 jam setiap hari," tambahnya.- Bernama

Tiada ulasan: