18 September 2012

Filem hina Nabi: Youtube tak akan buang video

2 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

WASHINGTON: Google menolak permintaan White House untuk membuang video klip yang menghina Nabi Muhammad di Youtube, tetapi akan menyekat akses kepada video itu di negara-negara tertentu.

Rumah Putih Jumaat lalu berkata bahawa mereka telah meminta Youtube untuk mengkaji sama ada video tersebut melanggar terma penggunaannya. Youtube, laman perkongsian video dalam talian adalah hak milik Google.

Youtube dalam satu kenyataannya Jumaat lalu berkata bahawa video itu boleh didapati dengan meluas di Web dan "secara jelas mengikut garis panduan kami dan akan kekal di Youtube."

Filem pendek "Innocence of Muslims" memburuk-burukkan Islam dan Nabi Muhammad. Filem ini berperanan dalam mencetuskan keganasan terhadap kedutaan AS di Timur Tengah. Filem ini turut dipersalahkan kerana memainkan peranan dalam serangan di Libya, di mana Duta AS dan tiga yang lain telah dibunuh walaupun punca sebenar serangan masih di bawah siasatan.

Pegawai Amerika Syarikat dan Libya sedang menyiasat sama ada protes di Libya adalah strategi pihak militan, kemungkinan pesimpati al-Qaeda, yang menjalankan serangan terselaras ke atas Konsulat AS di Benghazi dan membunuh warga Amerika. Washington telah menggunakan penyiasat FBI untuk mengesan campur tangan militan di sebalik serangan itu.

Sedang protes ke atas video tersebut semakin hangat, Youtube menyekat akses kepada video tersebut di Libya dan Mesir. Youtube memberi alasan "situasi yang sangat sensitif" di kedua-dua negara tersebut. YouTube kemudiannya juga menyekat akses kepada video tersebut di India dan Indonesia selepas kedua-dua kerajaan ini memberitahu Youtube video tersebut melanggar undang-undang mereka.

Dalam kenyataannya Jumaat lalu, Youtube berkata video tersebut akan kekal di laman webnya di negara selain Libya, Mesir, India dan Indonesia.

"Kami bekerja keras untuk mewujudkan satu komuniti yang boleh berseronok dan juga yang membolehkan orang ramai meluahkan pendapat yang berbeza," jelas kenyataan Youtube. "Ini adalah satu cabaran kerana apa yang okey di satu negara boleh jadi menyinggung di tempat-tempat lain. Video ini - boleh didapati secara meluas di Web – dan secara jelasnya dalam garis panduan kami maka ia akan kekal di Youtube.

“Walau bagaimanapun, kami telah mengehadkan akses kepada video ini di negara-negara di mana ia telah diharamkan seperti India dan Indonesia, juga di Libya dan Mesir, memandangkan situasi yang sangat sensitif dalam kedua-dua negara ini. Pendekatan ini adalah sepenuhnya selari dengan prinsip-prinsip yang kami bentangkan pada 2007. "

Garis panduan komuniti Youtube mengatakan syarikat itu menggalakkan kebebasan bersuara dan membela hak semua orang untuk meluahkan pandangan yang tidak popular. Tetapi Youtube turut mengatakan ia tidak membenarkan ‘ucapan berunsur kebencian’.

“Ucapan berunsur kebencian' merujuk kepada kandungan yang mempromosikan kebencian terhadap ahli-ahli kumpulan yang dilindungi," jelas garis panduan itu. "Kadang-kadang ada garis pemisah yang sangat halus antara apa yang dianggap sebagai ucapan berunsur kebencian dan apa yang tidak. Sebagai contoh, secara umumnya adalah okey untuk mengkritik sesebuah negara, tetapi ia tidak okey untuk membuat generalisasi yang menghina orang dari negara tertentu."

harakahdaily/-

Tiada ulasan: