Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menawarkan diri sebagai penasihat kepada syarikat dan pihak berkuasa filem supaya kontroversi sekitar dakwaan 'lafaz cerai' pasangan pelakon Rashidi Ishak-Vanidah Imran tidak berulang.

"Ia bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dan salah faham masyarakat terhadap hukum hakam dan perjalanan proses perundangan di negara ini, terutama tentang perundangan Syariah," kata presidennya Musa Awang (kanan).

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria Isnin lalu dilaporkan menggesa Vanidah dan Rashidi memaklumkan kepada jabatan agama Islam berikutan lafaz cerai yang didakwa diungkapkan dalam filem Untuk Tiga Hari.

Vanidah bagaimanapun menolak saranan itu kerana yakin tidak berlaku penceraian dan beliau tidak faham bahagian mana yang memuatkan lafaz 'cerai' itu, lapor Mstar.

Pasangan bintang itu sudah berkahwin selama 12 tahun.

Dalam kenyataannya hari ini, Musa berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PPFM), Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) serta penerbit filem bagi merealisasikan perkara itu.

Katanya, walaupun karya di layar perak boleh menjadi mekanisme dan medium berkesan untuk mendidik, gambaran yang salah tentang hukum hakam perundangan syariah boleh menjejaskan Islam dan institusi Islam, termasuk Mahkamah Syariah dan jabatan agama.

Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki itu mula ditayangkan di panggung wayang seluruh Malaysia bermula 20 September lalu.


malaysiakini/-