13 September 2012

Kenit jadi tumpuan, gembira didukung

26 Syawal 1433H. [MOD] -

PONTIAN – Melihatkan tubuhnya yang kecil dan berwajah kanak-kanak, pasti sukar mempercayai Mohammad Nor Ashari Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai 'Kenit', sudah berusia 17 tahun.

Dengan ketinggian 72 sentimeter atau hanya tiga kaki yang merupakan ketinggian bagi kanak-kanak yang berusia lima tahun, tidak membataskan Kenit bergaul dengan rakan-rakannya.

Malah, Kenit yang gemar menyanyi dan membuat persembahan di majlis-majlis jamuan raya dan majlis perkahwinan yang dihadirinya sering mencuri tumpuan.

“Ramai yang tidak percaya saya sudah berusia 17 tahun dan menyangka saya masih berusia lima tahun, sehingga kadang-kadang saya perlu menunjukkan MyKad kepada mereka.

“Saya suka menyanyi dan mahu menghiburkan hati semua orang,” katanya.

Dia yang ditemani ibunya ditemui Sinar Harian pada majlis rumah terbuka Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian, di sini, semalam.

Bagi ibunya, Zauziah Husin, 47, dia menyifatkan anaknya itu sebagai permata yang sungguh berharga dan unik dengan gelagatnya.

Katanya, Kenit yang merupakan anak ketiga dari lima beradik itu tidak boleh berjalan lama kerana dia mudah berasa letih.

“Saya bersyukur sejak Kenit memasuki kelas Pusat Dalam Komuniti (PDK) Benut tiga tahun lalu, dia sudah boleh berdiri agak lama berbanding dahulu,” katanya yang tinggal di Kampung Parit Maklumi, Benut, dekat sini.

Zauziah yang juga suri rumah berkata, sebelum ini anaknya itu bersekolah di sekolah harian biasa, namun dipindahkan ke kelas PDK tiga tahun lalu selepas mendapat nasihat guru dan rakan-rakan.

“Kehadiran Kenit menceriakan majlis dan kadangkala ada mendukungnya membuatkan dia begitu gembira

“Kenit juga sering bercerita kepada saya tentang impiannya untuk menunggang motosikal, saya dan suami sentiasa mendoakan agar dia akan berjaya mencapai impiannya itu suatu hari nanti,” katanya.

Dalam pada itu katanya, anaknya itu menerima bantuan persekolahan daripada JKM sebanyak RM150 sebulan.

Majlis yang mengumpulkan kira-kira 100 penerima bantuan JKM dan warga emas itu turut dihadiri Pegawai Daerah, Muji Salimon; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong; Adun Pekan Nenas, Tang Nai Soon, dan Pegawai JKM Pontian, Juhainun Mohd Shukri.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: