13 September 2012

PAS sokong 'orang Umno' jual tanah disiasat SPRM

26 Syawal 1433H. [MOD] -

JERANTUT: Pendedahan berlakunya penjualan tanah di kawasan bandar ini yang didakwa melibatkan pemimpin Umno sendiri dianggap amat mengejutkan.

Lebih memeranjatkan, perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak kepada sebuah akhbar harian semalam.

Serentak dengan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Jerantut Yohanis Ahmad (gambar) menyokong tindakan Wan Amizan yang mahu melaporkan skandal tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan.

“Saya pada mulanya terkejut dengan pendedahan Ketua Pemuda Umno Jerantut yang menyerang rakan sesama Umnonya sendiri dan mungkin ini biasa pada ketika mesyuarat Umno Bahagian dan menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

“Namun apabila ia mungkin membabitkan penyelewengan apa lagi melibatkan tanah rizab Melayu, maka tindakan mangadukannya kepada SPRM kami (DPP) sokong,” katanya.

Yohanis berkata demikian mengulas laporan akhbar bertajuk “Orang parti jual tanah, dakwa Pemuda Umno” semalam.

Beliau berharap perkara ini bukan sandiwara dan mahu SPRM menyiasat sesiapa saja yang terlibat dan jika terdapat bukti janganlah didiamkan.

Wan Amizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, dalam laporan tersebut meminta SPRM menyiasat penjualan tanah di kawasan bandar Jerantut yang didakwa berlaku penyelewengan membabitkan penjawat awam dan ahli Umno sendiri.

Menurutnya, Pemuda Umno berasa terpanggil membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat perkara itu bukan sahaja untuk membersihkan imej parti, malah bagi mengekang segala manipulasi projek dalam kawasan bandar oleh pihak tertentu.

Laporan SPRM akan dikemukakan dalam minggu ini supaya siasatan segera boleh dilakukan bagi membuktikan sama ada pihak tertentu memainkan peranan sehingga menyebabkan tanah di bandar ini beralih kepada syarikat bukan Melayu.

Katanya, siasatan perlu dijalankan berikutan perkara ini kerap dibangkitkan ahli Umno di sini, malah Pemuda Umno turut menerima aduan daripada orang ramai supaya kes ini disiasat mengikut undang-undang dalang dalam kalangan orang kuat Umno itu sendiri telah menyebabkan banyak tanah di bandar Jerantut bertukar milik kepada pihak lain.

Tambahnyanya, sebilangan tanah di Bandar Baru yang menempatkan tapak rekreasi, stesen teksi dan bas contohnya, sudah terlepas kepada syarikat tertentu akibat tindakan pihak terbabit.

“Pemuda Umno juga mahu SPRM membuat siasatan mengenai manipulasi ‘projek silang’ dalam kawasan bandar yang dilihat dimonopoli syarikat tertentu.

“Kita khuatir wujud unsur korupsi, penyalahgunaan kuasa dan gejala lain bagi kepentingan satu pihak, sedangkan rakyat seperti peniaga, pemandu teksi dan pengusaha kecil ditindas,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno sedia mengemukakan bukti supaya mereka yang terlibat disiasat mengikut undang-undang dan perlu dibuktikan untuk pengetahuan rakyat sesuai dengan perjuangan Umno yang lebih telus bagi melakarkan perubahan di samping perlu mempunyai pemimpin yang berintegriti dan amanah.

Sementara itu satu sumber memberitahu, masalah tanah di bandar bersejarah ini sememangnya sering menjadi isu dan membuatkan rakyat tidak puas hati.

Menurut sumber tersebut, contohnya tanah yang diusahakan dengan tanaman oleh penduduk seperti di Durian Hijau, Bukit Nikmat dan kampung-kampung lain tiba-tiba dimiliki oleh pemimpin Umno tertentu.

Sebelum ini media pernah mendedahkan penebangan balak secara berleluasa hutan di Padang Piol hingga ke Taman Negara.

“Semua itu rakyat mahukan siasatan, rakyat harap ini bukan sandiwara atau gimik menjelang PRU13,” kata Yohanis.

Beliau turut mengucap tahniah di atas keberanian Wan Amizan kerana jika parti dalam Pakatan yang mendedahkan skandal tersebut lazimnya akan dipandang sepi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: