18 Oktober 2012

AES: Pemuda PAS Sabah puji P Pinang dan Kelantan

2 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini memuji langkah Pulau Pinang dan Kelantan yang menangguhkan pemasangan dan penguatkuasaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik.

Apa yang dilaksanakan oleh kedua-dua buah negeri ini merupakan adaptasi atau contoh kepada apa yang diperkatakan iaitu negeri ‘berkebajikan dan utamakan rakyat dalam setiap agenda’, kata ketuanya, Lahirul Latigu.

Selain itu, pihak DPPNS turut mempertikai tindakan Kementerian Pengangkutan yang mempertahankan pemasangan sistem tersebut biarpun mendapat tentangan dan kritikan sama ada di kalangan pemimpin UMNO/ Barisan Nasional mahupun pihak Pakatan Rakyat.

Ini jelas bahawa, kementerian tersebut tidak mengendahkan suara pemimpin yang dilantik rakyat sekaligus merendah-rendahkan martabat Dewan Parlimen selaku penguasa penuh dalam setiap keputusan terhadap rakyat, katanya.

AES di Sabah

Sementara itu, Sabah turut menjadi lokasi pemasangan sistem berkenaan di mana 21 kawasan seluruh Sabah yang menjadi lokasi strategik bagi pemasangan sistem berkenaan.

DPPNS berpandangan bahawa, pemasangan sistem di negeri ini adalah satu tindakan yang tidak membawa apa-apa kesan terhadap pembangunan prasarana di negeri ini.
Untuk makluman, kata Lahirul (gambar), rakyat Sabah terutamanya mahukan sebuah jaringan pengangkutan yang sempurna.

Rakyat Sabah, jelasnya, sudah terlalu kerap dijanjikan imbuhan serta pembangunan, tetapi adakah semua rakyat Sabah mengecapi kemakmuran berkenaan.

"Buat apa dipasang sistem AES, sedangkan jalan-jalan raya di Sabah boleh disifatkan terlalu teruk dan mundur ke belakang.

"Apakah kiranya, rakyat Sabah diminta bersabar lagi seperti mana suruhan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang meminta rakyat Sabah bersabar?" soalnya.

Bagi beliau, Kementerian Pengangkutan sebenarnya boleh memahami situasi berkenaan dan tidak hanya menjadikan wang dan kuasa sebagai tonggak segala-galanya.

"Kementerian Pengangkutan boleh sahaja datang untuk melihat sendiri keadaan jalan di Sabah lantas mengeluarkan perbelanjaan untuk menaik taraf sistem pengangkutan di Sabah ini.

"Sudahlah untuk menipu rakyat Sabah dengan laungan ‘rakyat didahulukan’ sedangkan pencapaian untuk rakyat tidak diendahkan," tambah beliau.

Oleh yang demikian, pihak DPPNS menggesa Kementerian Pengangkutan untuk menangguhkan dahulu pemasangan dan penguatkuasaan sistem ini sementara menunggu titik persetujuan diantara semua pihak – rakyat, kementerian dan pihak terbabit.

DPPNS turut menggambarkan akan menangguh serta memansuhkan penggunaan AES ini di Sabah sekiranya berjaya memerintah negeri ini.

Apa yang penting ialah, hak dan keadilan rakyat menjadi keutamaan di samping keselesaan serta kemakmuran yang perlu dikecapi rakyat Sabah.

harakah/-

Tiada ulasan: