18 Oktober 2012

Orang Asli demo lagi, serah MB Pahang memo

2 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Orang Asli
 
Sebahagian Orang Asli yang hadir ke perhimpunan itu menunjukkan sepanduk menyatakan desakan mereka 
 terhadap kerajaan.
 
Adnan (kanan) meneliti memorandum yang diserahkan dan menandatangani memorandum berkenaan.
 
Adnan (kanan) meneliti memorandum yang diserahkan dan menandatangani memorandum berkenaan.
KUANTAN – Seramai kira-kira 120 Orang Asli melalui Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) sekali lagi berkampung di pekarangan Wisma Sri Pahang di sini, semalam bagi menyerahkan memorandum mengenai pencerobohan, tuntutan tanah dan wilayah adat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Melalui memorandum berkenaan, sebanyak lapan perkara dibangkit dan dituntut oleh kumpulan berkenaan serta mereka bertegas menyerahkan sendiri kepada MB.

Kumpulan Orang Asli dari seluruh Pahang berkenaan tiba kira-kira jam 11 pagi dengan membawa sepanduk yang antaranya tertera “Batalkan status tanah rizab yang bertindih dengan tanah adat orang asli”, “Iktiraf hak dan tanah adat Orang Asli” dan pelbagai lagi perkara menjurus kepentingan tanah adat kaum mereka.
Pada awalnya perhimpunan kelihatan agak agresif dan panas, namun kehadiran MB meredakan keadaan serta perbincangan diadakan dalam keadaan baik.

Wakil JKOASM, Yusri Ahon, 49, berkata, memorandum berkenaan adalah penyataan bersama seluruh masyarakat Orang Asli melalui JKOASM sebagai tanda melahirkan kesepakatan supaya kawasan atau tanah dan wilayah diiktiraf.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini sering wujud pertikaian antara kerajaan dan masyarakat orang asli mengenai perkara tersebut.

“Perkara ini membuatkan kami merasakan perlunya kerajaan negeri Pahang dan kerajaan Malaysia membuat sesuatu bagi mengatasi permasalahan ini.

“Masyarakat kami terlebih dahulu wujud di bumi Malaysia sebelum undang-undang digubal tetapi dimanakah hak kami sebagai rakyat.

“Tanah yang kami duduki dan diami sejak dari zaman nenek moyang sering dikatakan sebagai tanah kerajaan, rizab perhutanan, rizab Perhilitan dan rizab Melayu sehingga tanah serta wilayah adat kami dipindah milik atau diberi kelulusan kepada pihak lain,” katanya kepada
pemberita ketika ditemui pada perhimpunan itu.

Katanya, melalui memorandum berkenaan pihaknya menggariskan lapan tuntutan yang diharapkan mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Antara yang kami mahukan ialah segala aktiviti yang sedang berjalan di atas tanah dan wilayah adat Orang Asli dihentikan, menarik balik lesen yang telah diberi kepada semua kontraktor yang bekerja di atas tanah wilayah adat dan membayar pampas an sewajarnya di atas kerugian kami alami.

“Selain itu, kerajaan harus membatalkan semua rizab bertindih dengan tanah dan wilayah adat Orang Asli bagi membolehkan pengiktirafan atau perlindungan serta mengiktiraf seluruh tanah dan wilayah adat Orang Asli mengikut peta komuniti kami.

“Kami juga meminta pemansuhan dasar pemberi pemilikan tanah Orang Asli yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada kami dan dua lagi tuntutan harus diberi perhatian serius,” katanya.

Yusri berkata, memorandum berkenaan turut mengandungi sebanyak 6,000 tandatangan Orang Asli mewakili kaum mereka di seluruh Pahang.

“Kedatangan kami atas kerelaan sendiri dan tiada hasutan atau kena mengena dengan pihak lain termasuk pembangkang.

“Kami mahu MB sendiri menerima dan meneliti memorandum serta tuntutan yang dibuat demi kebaikan kaum Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, menerusi perbincangan antara MB dengan wakil Orang Asli berkenaan yang berlangsung selama kira-kira 1 jam itu memberi khabar gembira kepada mereka.

Semua tuntutan yang dibuat diteliti oleh MB dan diperjelas secara terperinci bagi mengelak salah faham berlaku.

Secara rumusannya, ada perkara yang dituntut adalah di bawah pantauan Kerajaan Negeri manakala sebahagiannya pula di bawah Kerajaan Persekutuan.

Antara tuntutan berkenaan juga sudah diberi perhatian dan dibawa ke mesyuarat Exco serta perkara yang di bawah Kerajaan Persekutuan akan dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Di akhir perbincangan kumpulan berkenaan berterima kasih kepada Menteri Besar yang prihatin terhadap masalah mereka.

Mereka turut dijanjikan minit mesyuarat yang telah dibuat melibatkan kes atau kaitan dengan tanah atau wilayah adat Orang Asli akan ditunjukkan kepada mereka sebagai bukti ia sudah diberi perhatian sewajarnya.

SINAR/-

Tiada ulasan: