28 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
BAITULMUQADDIS - Beberapa pegawai Israel semalam mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran di Gaza semalam.
Ancaman itu dibuat selepas 24 jam para pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke wilayah Israel.
Serangan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa negaranya bersedia untuk meningkatkan serangan balas.
Menteri Pertahanan, Ehud Barak menyatakan para pemimpin pergerakan Hamas akan menerima padah ekoran serangan roket itu.
Seorang pegawai kanan Israel mengesahkan bahawa Netanyahu mengadakan mesyuarat bagi melakukan persediaan untuk kemungkinan satu tindakan yang keras akan dilakukan untuk melindungi penduduk Israel.
Para pejuang Gaza melancarkan 110 roket ke selatan Israel sejak Sabtu lalu.
Salah satu serangan itu mengenai pekarangan sebuah rumah di bandar Netivot.
Tiada sebarang laporan tentang kecederaan dilaporkan ekoran serangan tersebut.
Sehari sebelum itu, jet-jet pejuang Israel melancarkan serangan di tiga buah lokasi di Gaza.
Beberapa pegawai Israel turut menyatakan serangan balas yang lebih hebat perlu dilancarkan.
Bekas ketua tentera negara itu, Dan Halutz mencadangkan beberapa aset milik pergerakan Hamas perlu diserang sebelum operasi ketenteraan dilancarkan tentera Israel.
Menurut seorang bekas penasihat keselamatan Israel, Giora Eiland, import barangan dan bekalan elektrik ke Gaza perlu dipotong. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan