25 Disember 2012

2,425 rumah dinaiki air dalam banjir di Jakarta

11 Safar 1433H. [MOD] -


JAKARTA 25 Dis. - Sejumlah 2,425 buah rumah di 10 daerah kecil di Jakarta dinaiki air sehingga 250 sentimeter (2.5 meter) berikutan melimpahnya air sungai Ciliwung dan Sungai Pesanggrahan.

Kejadian yang diakibatkan oleh hujan lebat di ibu negara petang Ahad serta hujan di wilayah Bogor itu telah menyebabkan 7,307 penduduk menjadi mangsa banjir, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), semalam.

Jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir tidak dinyatakan.

Menurut BNPB, kawasan paling teruk dilanda banjir ialah Kampung Melayu di daerah kecil Jatinegara, Jakarta Timur.

Kawasan lain yang turut dilanda banjir ialah Cawang, di daerah kecil Kramatjati; Cibubur di daerah kecil Cirakas; Bidara Cina, Cililitan, Pekayon, Ulujami, Pondok Pinang, Bukit Duri, Pondok Labu, Sukabumi Selatan, Duri Kepa dan Jelambar Baru.

BNPB dan Badan Pengurusan Bencana Negeri Jakarta telah membuka pusat penyelarasan penanganan darurat dan dapur umum dan telah mengagih-agih bantuan makanan, bahan makanan, peralatan dapur, khemah, selimut dan air minuman bersih kepada mangsa-mangsa.

Pelbagai agensi kerajaan seperti kementerian kerja raya, Persatuan Palang Merah Indonesia, tentera, polis, pertubuhan sukarela serta anggota masyarakat turut memberi bantuan dalam kejadian banjir itu. - BERNAMA



Tiada ulasan: