29 Disember 2012

Banjir beransur pulih di Pahang, Kelantan dan Terengganu

15 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Keadaan kawasan yang dilanda banjir di negeri-negeri Pantai Timur beransur pulih dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Pahang, Kelantan dan Terengganu terus menurun, petang semalam. 

Menurut portal portal rasmi kerajaan negeri-negeri berkenaan, jumlah terkini keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan ialah 21,013 orang berbanding 22,093 pagi semalam. 

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir menyusut kepada 5,951 orang berbanding 6,000 pada sebelah pagi semalam. 

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, kesemua mereka membabitkan 1,933 buah keluarga yang ditempatkan di 18 buah pusat pemindahan di tiga jajahan, di mana mangsa banjir di Pasir Mas kini berjumlah 3,318 orang diikuti Tumpat (2,467) dan Kota Bharu (166). 

Jajahan Pasir Puteh bagaimanapun kini bebas banjir selepas sebuah pusat pemindahannya ditutup secara rasmi tengah hari tadi apabila kesemua 18 mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing. 

Hanya Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih mencecah paras bahaya namun ia semakin susut secara beransur-ansur berikutan cuaca yang terus baik. 

Di TERENGGANU jumlah mangsa yang berada di pusat penempatan menurun kepada kira-kira 14,880 orang keluarga berbanding 16,413 pada pagi semalam yang membabitkan 3,510 keluarga. 

Menurut portal banjir negeri, di daerah Kemaman mangsa seramai 9,601 orang (1,214 keluarga), Dungun 4,026 orang (1,017 keluarga), Kuala Terengganu 953 orang (220 keluarga), Setiu 185 (44 keluarga), Hulu Terengganu 77 (18 keluarga) dan Marang 22 (5 keluarga). 

Setakat ini, daerah Besut pulih dari banjir dan pusat penempatan banjir yang masih beroperasi sehingga petang ini ialah 74 iaitu Dungun sebanyak 37, Kemaman (24), Kuala Terengganu (6), Setiu (3), Marang dan Hulu Terengganu masing-masing 1. 

Di PAHANG, hanya daerah Kuantan yang masih menempatkan mangsa banjir seramai 182 orang daripada 46 keluarga di mana kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di SK Galing selepas penempatan mereka di tiga buah kawasan masih dinaiki air. 

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Penempatan yang terlibat adalah di Kampung Galing, Galing Besar dan Taman Sri Kuantan. 

Daerah Pekan yang mencatatkan mangsa pemindahan seramai 44 orang daripada 9 keluarga di SK Sinar Mutiara dibenarkan pulang pada 11 pagi tadi. 

Sementara itu hanya Jalan Kuantan By Pass di KM18 ditutup kepada kenderaan ringgan selepas air menaiki jalan setinggi 0.18 meter. 

Di PUTRAJAYA, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai di negeri-negeri terlibat banjir supaya menjaga kesihatan masing-masing dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata pesakit jantung, darah tinggi dan kencing manis yang perlu mengambil ubat secara berterusan, perlu mempunyai bekalan ubat yang mencukupi untuk dibawa ke pusat pemindahan. 

"Jika terputus bekalan, sila bawa kad rawatan ke pusat pemindahan dan tunjukkan kepada anggota kesihatan bertugas kerana klinik yang biasa mereka kunjungi mungkin dinaiki air atau terputus hubungan kerana jalan dinaiki air," katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Dr Lokman berkata, ibu-ibu mengandung terutamanya yang hampir mendekati tarikh jangkaan bersalin pula dinasihat berpindah ke kawasan berdekatan hospital atau di luar kawasan banjir untuk memudahkan ke hospital. 

Beliau berkata, mangsa banjir juga perlu mengelakkan mengambil makanan dan minuman yang tidak dimasak serta mendapatkan rawatan dari pasukan perubatan yang melawat pusat pemindahan jika berasa kurang sihat. 

Anak-anak juga perlu diawasi daripada bermain dengan air banjir kerana ia tercemar dan kotor yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit berjangkit seperti cirit-birit, demam kepialu (tifoid), hepatitis A dan leptospirosis (penyakit kencing tikus), katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: