23 Disember 2012

Kubur ‘diceroboh’ pencuri besi

9 Safar 1433H. [MOD] -



Ayub (kanan) menunjukkan kesan besi penambat pagar yang dipotong pencuri manakala Lamin (kiri) menunjukkan sebahagian pagar dawai yang runtuh.
KERIAN - Akibat sikap rakus pencuri besi menyebabkan berpuluh-puluh batu nisan dan binaan kubur di  tanah perkuburan Islam di Kampung Balik Bukit, di sini rosak dan ada yang musnah.

Kebanyakan nisan kayu dan binaan di sekeliling kubur di kawasan itu berusia lebih setengah abad kerana merupakan perkuburan nenek moyang sebahagian besar penduduk di sini.

Pencerobohan itu mengakibatkan sebahagian besar besi penambat pagar tanah perkuburan berkenaan ‘hilang’ kerana dicuri pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjualnya sebagai besi sekerap.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tanah Perkuburan Islam Kampung Balik Bukit, Lamin Bakar, 80, berkata, kejadian itu berlaku sejak enam bulan lalu apabila pihaknya mendapati besi penambat pagar lesap satu persatu menyebabkan sebahagian pagar runtuh.

Menurutnya, setiap kali ke sini, ada sahaja besi yang hilang dan terdapat kesan besi berkenaan dipotong pihak tidak bertanggungjawab menggunakan mesin pemotong.

“Kejadian ini mengecewakan penduduk memandangkan pagar berkenaan baru dibina empat tahun lalu hasil sumbangan Umno bahagian Bagan Serai berjumlah RM20,000.

“Kini, sebahagian besar pagar kubur sudah runtuh malah batu nisan di sini juga rosak akibat dilanggar haiwan ternakan yang ‘menceroboh’ kawasan ini,” katanya.

Lamin berkata, selain masalah kecurian besi, Jawatankuasa Kariah Masjid Kampung Balik Bukit turut berdepan ancaman kecurian hasil sawit yang ditanam di tanah wakaf milik masjid bersebelahan perkuburan itu.

Jelasnya, masalah itu sudah berlarutan sejak enam tahun lalu dan sebanyak tiga laporan dibuat di Balai Polis Gunung Semanggol.

“Setelah jawatankuasa kariah masjid dikurniakan tanah wakaf seluas 1.8 hektar oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian sekitar tahun 60-an, kami memutuskan 0.6 hektar daripadanya dijadikan tanah perkuburan manakala selebihnya ditanam sawit bagi menjana pendapatan masjid.

“Kutipan hasil tanaman sawit itu digunakan untuk menjalankan aktiviti masjid dan jika sentiasa dicuri, bagaimana kami hendak menyalurkannya kembali bagi memperkasakan aktiviti kerohanian penduduk?” katanya.

Penduduk, Ayub Kassim, 83, berkata, pihak berkenaan perlu menjalankan kerja penyelenggaraan pagar baru segera di tanah perkuburan itu memandangkan ia digunakan penduduk lima kampung berdekatan.

Menurutnya, selain Kampung Balik Bukit, tanah perkuburan itu turut digunakan penduduk Kampung Batu 8, Kampung Batu 9, Kampung Batu 11, Kampung Jaya dan Taman Indah Jaya.

“Saya merayu jasa baik pihak berkenaan untuk menggantikan semula pagar dawai yang runtuh bagi memastikan keadaan tanah perkuburan itu terpelihara,” katanya.

Sumber: Sinar Harian.

2 ulasan:

Anti kecurian berkata...

Ini semua kerja 'pek hun' yg lapar dadah. Bila gian sudah 'mari'...apa pun rembat..! Janji hajat di hati...di penuhi. Celaka itu orang....!

Tanpa Nama berkata...

Pencuri tak ingat nak mati... kerana dadah sabggup buat apa saja