27 Disember 2012

Pakatan Rakyat jangan gopoh ambil bola tanggung

13 Safar 1433H. [MOD] -

Sama ada negara itu kekal sebagai sebuah negara yang aman dan sentosa buat selama-lamanya, bergantung kepada rakyatnya. Rakyatlah yang boleh membina dan rakyat jugalah yang boleh memusnahkannya. Setiap negara, apatah lagi negara yang majmuk seperti Malaysia ini, perpaduan semua kaum itu adalah ultimate dan jika kurang dari itu ia tidaklah sebuah negara yang aman untuk didiami.


Rakyat semua kaum tidak boleh menyalahkan di antara satu dengan lain kerana kewujudan kaum yang berbilang itu adalah kewujudan ciptaan Tuhan yang Maha Esa. Menyalahkan keadaan itu serupalah menyalahkan Tuhan yang Maha Pencipta. Bukankah kita dicegah dari mengeluh dan murung dengan kejadian Tuhan ini?

Jika kita akui hakikat ketuhanan ini, maka kita wajar berusaha untuk mengenali rakyat senegara yang terdiri dari semua kaum ini dan berusaha untuk menghormati dan hidup bersama-sama dengan aman dan berbaik sangka di antara satu dengan lain. Maka perjuangan untuk bersama-sama hidup dengan aman damai di antara kaum itu merupakan ibadah yang amat besar nilainya di sisi agama dan Tuhan.

Usaha ini bukannya usaha yang mudah kerana politik perkauman yang dijaja oleh setengah pihak menyebabkan tidak dapat tidak kita terpaksa akui yang rakyat masih menyebelahi satu-satu tindakan politik berdasarkan perkauman. Walaupun pada zahiriahnya pimpinan UMNO bercakap lantang tentang perpaduan kaum tetapi bagi pengikut-pengikutnya ia tetap bermain dengan isu perkauman. Tindakan saya menyertai DAP awal tahun ini telah menyebabkan banyak komen-komen dari ahli-ahli UMNO dalam blog saya membidas saya kerana mereka tidak suka saya bersama DAP kerana DAP itu kata mereka adalah parti Cina.

Banyak juga saya menerima e-mail yang membidas saya dan menganggap saya sebagai petualang kepada bangsa Melayu kerana saya menyertai parti yang mereka tuduh sebagai parti yang rasis Cina itu. Saya selalu menjawabnya dengan mudah. Saya perkatakan yang DAP sedang berusaha untuk menjadi parti multi-racial dan ia memakan masa untuk menjayakannya. Tetapi saya selalu memberitahu mereka dalam jawapan saya yang saya tidak akan lari dari berjuang untuk melihat DAP benar-benar sebagai parti yang multi-racial kerana itu adalah janii dan matlamat parti itu dan ia termaktub di dalam perlembagaan sebagai parti muli-racial.

Saya percaya DAP tidak memungkiri janji-janji ini kerana memungkiri janji itu akan membuatkan rakyat khususnya orang bukan Cina tidak mempercayai parti itu pada masa yang akan datang. Saya bersetuju dengan setengah pendapat jika DAP masih lagi mahu menjadi parti untuk orang Cina sahaja maka parti yang selayaknya disokong oleh orang Cina ialah MCA kerana MCA sesungguhnya parti chauvinis Cina. Kalau benar-benar pemimpin-pemimpin kaum Cina mahukan sebuah parti khas untuk dominasi orang Cina maka MCA lah parti yang sesuai.

Segala-galanya ini menjadi perhatian dan tumpuan rakyat terutamanya pengundi di atas pagar yang pada bila-bila masa boleh mengubah haluan dan patern pengundian dalam pilihanraya nanti. Bagi pengundi Melayu pula yang kini sedang bertambah-tambah menyokong DAP sekarang ini adalah disebabkan DAP telah menunjukan keinginannya menjadi sebuah parti multi racial dan jika mereka kedapatan yang janji-janji itu hanyalah janji-janji bohong untuk pilihanraya sahaja maka mereka lebih selesa untuk mengekalkan sokongan terhadap MCA yang sudah biasa dengan mereka. Saya begitu berkeyakinan DAP memahami isu ini dan ia bukannya satu isu yang kecil.

Orang Melayu juga sedang serius berfikir maka itulah sebabnya ramai orang Melayu termasuk ahli-ahli UMNO sendiri sedang beralih sokongan mereka dan sedang memberikan harapan dan sokongan terhadap PAS. Fenomena penghijrahan orang Melayu dari UMNO kepada PAS memang satu fenomena yang jelas dan PAS dijangka akan mendapat sokongan yang besar dalam pilihanraya kali ini dari kaum Melayu. Itulah sebabnya kita hairan bagaimana Ketua Penerangan UMNO begitu yakin yang UMNO akan dapat merampas 20 kerusi dari Pakatan Rakyat kerana penghijrahan sokongan Melayu dari UMNO kepada PAS begitu menggalakkan dan sangat memberangsangkan.

Saya telah memberikan banyak jawapan kepada persoalan ini kepada mereka yang masih was-was dengan usaha DAP itu melalui e-mail. Saya memahami yang sesiapa yang bertanya melalui e-mail dengan serius itu, adalah dari mereka yang benar-benar ingin melihat ada usaha yang bersungguh untuk menamatkan zaman politik yang dilandaskan kepada premis perkauman ini. Mana-mana pihak tidak boleh memandang ringan terhadap pandangan dan persepsi pengundi atas pagar ini kerana jumlahnya bukannya kecil.

Kata perpatah, ‘sekilas ikan di air kita tahu jantan betinanya’. Itulah sebabnya saya tidak henti-henti mengingatkan yang mana-mana pihak yang melakukan sedikit kesilapan dan boleh dibaca oleh ramai dengan mudah, maka pihak itulah yang akan kecundang di dalam pilihanraya ini.

Perkara yang paling pokok ialah tidak ada pihak yang berbohong politik yang mudah dilihat. Rakyat sedang memerhati dengan begitu rapi dan kesilapan UMNO dahulu ialah kerana permainan politik kepimpinannya yang telah dapat dibaca oleh orang ramai dan hasilnya UMNO semakin hari semakin tidak diyakini lagi.

Pilihanraya kali ini bukan seperti pilihanraya-pilihanraya yang lalu kerana ini merupakan ibu kepada semua pilihanraya. Rakyat berkehendakan perubahan dan kepada pihak yang mahu melakukan perubahan itu sendiri mesti melakukannya dengan jujur dan telus.

Asas untuk melakukan perubahan itu semakin kuat. Terpulang kepada pihak yang ingin melaksanakan perubahan itu sahaja untuk menentukan kejayaannya. Jangan melakukan kesilapan dan jangan tunjukkan keghairahan yang keterlaluan untuk mendapatkan kuasa itu.

Kesalahan bukan lagi kesalahan UMNO dan BN kerana BN telah memberikan ruang untuk Pakatan mengambil alih kuasa dengan tindakan parti pemerintah itu yang melakukan banyak kesilapan demi kesilapan setiap waktu dan masa. BN sekarang ibarat memberikan bola tanggung kepada pembangkang.

Tetapi ada kalanya bola tanggung pun tidak dapat dimanfaatkan oleh pihak yang mendapatnya semata-mata kerana kesilapan dan kelalaian sendiri. Keghairahan untuk mengambil bola tanggung itu kadang kala membawa padah. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan: