27 Disember 2012

Penduduk Dakwa Hak Mereka Dicabuli

13 Safar 1433H. [MOD] -



SKUDAI – Beberapa orang penduduk daripada Pangsapuri Jasa, Mutaiara Rini bangkit menyuarakan hak mereka apabila sebuah kawasan hijau yang dimaklumkan untuk didirikan sebuah tadika telah dibangunkan sebuah premis perniagaan, Pasar Mini Masz Be 24 Jam.

Menurut penduduk setempat, aduan telah diadakan kepada pihak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) pada 11 Disember yang lalu berhubung isu ini.

Dalam satu keterangan, Puan Siti Habibah telah menjelaskan bahawa petisyen untuk meminta tandatangan penduduk di situ telah pun dibuat, namum ada pihak yang menghalang. 

“Kami dah buat petisyen minta tandatangan penduduk kat sini, tapi terpaksa berhenti sbb dapat ugutan daripada pelbagai pihak”, jelas beliau yang juga merupakan penduduk di Pangsapuri Jasa tersebut. 

Beliau juga terasa amat kecewa dengan Timbalan Ketua Wanita UMNO di situ kerana tidak mengambil endah aduan yang dilontarkan malah mengambil langkah untuk lepas tangan dalam isu ini. 

“Kami dah tunjukkan surat aduan yang dibuat kepada Timbalan Ketua Wanita UMNO, tapi mentah-mentah dia tolak aduan kami. Kami amat kecewa dengan pemimpin macam ni. 

“Ada juga kami bawa kepada ketua kampong, tapi katanya dia tak mampu nak buat apa-apa sebab payung ‘diorang’ lagi kuat”, jelas beliau lagi. 

Penduduk di situ juga menyatakan kebimbangan mereka kerana projek yang didirikan di antara blok R dan S Pangsapuri Jasa ini telah membuat pendawaian elektrik dan penggunaan sumber air secara yang diragui. 

Kerisauan mereka ini mempunyai asas yang kukuh apabila Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Nusajaya hadir ke tapak projek dan melihat tidak ada sebarang papan tanda projek secara sah dinaikkan sekitar tapak projek. 

Justeru Penyelia PAR Nusajaya menyarankan untuk ditubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memudahkan urusan ini dibawa ke pihak MPJBT secara lebih kukuh dan professional. 

“Kita minta supaya Puan dapat mengumpulkan penduduk di sini untuk kita tubuh satu jawatankuasa bertindak khas untuk tangani isu ini. 

“Saya bimbang ada permainan yang tidak sihat melibatkan orang dalam berlaku di sebalik pembinaan premis perniagaan ini. Selepas kita tubuh jawatankuasa, kita akan bawa ke pihak majlis. Kalau masih ada yang kita ragui kita akan minta SPRM buka kertas siasatan untuk kes ini,” tegas beliau lagi yang juga merupakan YDP PAS Kawasan Gelang Patah. 

Menurut Puan Siti Habibah, dalam usaha beliau mengumpul tandatangan sebagai suara bantahan penduduk, kebanyakkan hanya kaum Cina yang menyatakan kesungguhan mereka untuk menyokong isu ini namun sebaliknya bagi penduduk Melayu. 

Tambah beliau lagi, sebelum ini telah ada maklumat secara lisan yang dikhabarkan daripada pihak MPJBT untuk arahan perobohan premis berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang bentuk tindakan diambil. 

Turut hadir dalam pertemuan bersama penduduk Pangsapuri Jasa itu adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Gelang Patah, saudara Zaifiddin Isa. 
 
selatan online/-

Tiada ulasan: