03 Januari 2013

Pembinaan masjid terbengkalai

Pembinaan masjid terbengkalai
20 Safar 1433H. [MOD] -

Masjid Al-Jabariah yang masih dalam proses baikpulih walaupun sudah melepasi tarikh siap yang sepatutnya.
 
LAMBOR KIRI - PKR Perak melahirkan rasa kecewa apabila projek menaiktarafkan Masjid Al-Jabariah, Lambor Kiri, di sini dikatakan sudah terbengkalai.

Ketua Penerangannya, Zulkifli Ibrahim berkata, projek naik taraf itu bermula 1 September tahun lalu dan sehingga kini masih belum disiapkan.

Menurutnya, tarikh sebenar masjid itu dijangka siap pada 31 Disember lalu, namun ia seolah-olah tidak ada tanda-tanda akan disiapkan.

“Apabila dilihat kepada keadaan masjid ini, ia boleh diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai kerana masih banyak lagi kerja pembinaan belum disiapkan.

“Kami tertanya-tanya apa yang telah berlaku kepada projek ini sehingga ia telah melepasi tarikh sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihak berkaitan harus mengambil tindakan sewajarnya demi kelangsungan dakwah di kawasan itu.

“Jika perkara ini tidak diambil perhatian, pihak kami akan membuat tindakan susulan kepada pihak-pihak berkaitan kelak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria ketika dihubungi berkata, projek baik pulih masjid berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah dan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, projek berkenaan dipantau Pejabat Daerah Perak Tengah dan mengikut proses-proses pembinaan yang ditetapkan.

“Projek ini tidak mengalami sebarang masalah atau kelewatan seperti yang didakwa kerana ia masih lagi berjalan mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Mungkin ada sedikit perubahan atau pindaan-pindaan tertentu yang melibatkan beberapa teknikal pembinaan bagi memastikan baik pulih masjid ini lancar seperti yang dirancang,” katanya.

Katanya, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan masjid itu telah melebihi tarikh sebenar ia perlu disiapkan.

“Saya berharap supaya pihak-pihak berkaitan tidak menjadikan isu ini sebagai polemik politik yang bertujuan untuk mendapatkan pengaruh.

“Saya yakin masjid ini akan dapat disiapkan seperti yang telah dirancang bagi kemudahan penduduk sekitar,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: