12 Februari 2013

Paksa penerima BR1M undi BN, k’jaan tak ikhlas bantu rakyat

RASUAH-POLITIK1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Feb: Memaksa penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mengundi Barisan Nasional (BN) bukti kerajaan Umno tidak ikhlas bantu rakyat, kata Naib Pengerusi KEADILAN Johor, Hassan Abdul Karim.

“Kita tahu BR1M adalah rasuah kepada rakyat menjelang PRU 13, tetapi dengan memaksa rakyat untuk mengundi BN selepas menerima bantuan bukti mereka memang tidak ikhlas,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau mengulas arahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusa Jaya, Datuk Aziz Supian yang memaksa penerima BR1M 2.0 supaya mengundi BN.

Aziz yang juga Ketua Umno Bahagian Gelang Patah berkata, semua penerima BR1M, terutama di kawasan Nusa Jaya perlu menyokong dan mengundi BN dalam PRU 13 kerana wang yang diberikan itu adalah wang Barisan Nasional.

“BR1M adalah peruntukan yang dibentangkan secara rasmi oleh kerajaan dalam Bajet 2013 dan diluluskan Parlimen. Jadi tidak ada keraguan ia adalah wang kerajaan,” kata Hassan mengulas kenyataan Aziz.

“Justeru, BN tiada hak langsung untuk mengatakan wang BR1M adalah wang mereka apatah lagi memaksa rakyat untuk mengundi mereka sebagai balasan. Itu kenyataan tidak bertanggungjawab,” bidasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BR1M 2.0 semasa pembentangan Bajet 2013 di Parlimen pada 28 September dan mula diedarkan 2 Februari lalu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail sebelum ini mendedahkan BR1M 2.0 menggunakan RM2 bilion peruntukan wang luar jangka bagi tujuan itu.

Peruntukan wang luar jangka juga dikenali sebagai peruntukan kecemasan Perbendaharaan Nagara, yang sepatutnya digunakan pada masa-masa kecemasan seperti selepas berlaku bencana alam dan seumpamanya.

keadilandaily/-

Tiada ulasan: