12 Februari 2013

Arab Spring: Spekulasi Musa Hassan amat dangkal

1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal seorang lagi individu, kali ini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan turut bermain api untuk berspekulasi bahawa huru-hara seperti Arab Spring akan berlaku apabila ada pihak yang kalah dalam pilihan raya umum nanti.

“Kami kesal kenyataan seperti ini boleh keluar dari seorang yang sepatutnya lebih tahu implikasi dari spekulasi yang tidak bertanggungjawab dan merbahaya ini. Malah ini petanda negara  akan memboleh pihak berkuasa bertindak hanya dengan kenyataan bersifat spekulasi semata-mata,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) dalam satu kenyataan.

Malah, katanya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak yakin akan berlaku Arab Spring kerana berpendapat bahawa rakyat sudah matang dan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan negara semakin meningkat.

Soalnya, kata Mohd Azmi sejak 12 kali pilihan raya yang terdahulu, pihak pembangkang yang sudah banyak kali kalah dan tidak dapat menumbangkan kerajaan, namun persoalannya  bilakah pernah berlaku huru-hara yang dicetuskan oleh pembangkang yang kalah itu.

Ternyata, ujarnya Musa sebagai orang yang telah lama tahu mengenai keselamatan dalam negeri hanya membuat spekulasi dangkal.

Menurutnya, pada hakikatnya  yang berlaku ialah betapa pihak pembangkanglah yang sering ditekan dan diperlakukan secara paling tidak demokratik dalam pilihan raya, namun maseh tidak ada peristiwa ketegangan berlaku yang beliau katakan itu.

“Kenapa pula Musa kali ini berspekulasi bahawa huru hara akan tercetus?

“Adakah beliau turut mengetahui keputusan yang bakal berlaku ataukah beliau tahu penipuan sedang diatur oleh pihak tertentu untuk mengekalkan kuasa?” tanya beliau.

Justeru, ujarnya Teras kesal dengan sikap dan kenyataan Musa yang tidak berubah pemikirannya seolah-olah beliau tahu bahawa suatu kejutan akan berlaku dalam PRU13.

“Sekali lagi nampaknya orang seperti beliau berspekulasi bahawa  'Arab Spring' boleh berlaku di negara ini sekiranya pihak yang kalah pilihan raya umum akan datang tidak puas hati dengan keputusannya,” katanya lagi.

Soalnya, tanya Mohd Azmi kenapa pula Musa tidak yakin jika pihak kerajaan yang kalah akan ada pihak yang menggunakan penyokong-penyokong mereka membuat huru-hara dan rusuhan bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Sepatutnya, ujar beliau yang dinasihati ialah supaya jentera pengurusan pilihan raya iaitu SPR memastikan plihanraya berjalan secara adil dan bersih.

“Maklumat ini yang sepatutnya dikumpul oleh pihak polis,” katanya.

Menurutnya lagi, Musa kelihatan ghairah untuk mempertahankan ISA walaupun ramai yang menjadi mangsa ketidakadilan akibat undang-undang itu atas nama pencegahan.

haakahdaily/-

Tiada ulasan: