09 Mei 2013

Hapuskan kesedihan walau hati terluka – Cikgu Mala

28 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Calon PAS di Dun Pemanis, Normala Sudirman menggesa para penyokong agar menerima keputusan PRU13 di Dun itu dengan penuh redha dan berlapang dada setelah berusaha dengan sedaya upaya yang mungkin.

“Hapuskan kesedihan kita, walaupun hati terluka. Allah swt telah mengatur yang terbaik untuk kita sebagai hamba-Nya dan pasti mengandungi hikmah tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Selatan Online.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat analisa pengundian di Dun Pemanis dan mendapati masyarakat di tiga Felda iaitu Felda Pemanis 1, Felda Pemanis 2 dan Felda Medoi adalah talian hayat bagi Barisan Nasional.

“Di Dun Pemanis, mereka menang banyak di saluran Felda. Teruskan perjuangan, Allah swt sentiasa bersama kita,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Mala.

Beliau selaku calon yang telah diamanahkan menggalas cabaran N.03 Dun Pemanis tidak akan putus asa untuk menawarkan khidmat berbakti untuk rakyat.

“Kita akan bekerja bermula hari ini untuk terus memenangi hati rakyat untuk tempoh pilihan raya 5 tahun akan datang. Semoga Allah swt terus memberkati usaha kita.

“Adakalanya mereka terlupa kemenangan mereka yang sementara ini merupakan ‘istidraj’ daripada Allah (kemenangan yang diberi dalam keadaan kemurkaan Allah swt kepada mereka). Jadi, ini juga merupakan ujian getir bagi mereka.

“Hakikatnya, kita sebenarnya telah menang di sisi Allah swt kerana berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan di bumi Malaysia khususnya di Johor,” katanya lagi.

Normala turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jentera yang membantu sepanjang tempoh PRU13 itu.

“Dengan penuh rendah hati, saya mewakili ahli-ahli PAS Sekijang memohon maaf jika sepanjang perjalanan suasana kempen terdapat segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan disengajakan,” katanya lagi.

Pada PRU13 Ahad lalu, beliau mendapat 8,976 undi yang memberi kemenangan kepada penyandang kerusi Dun berkenaan, Lau Chin Hoon dengan majoriti 1,329 undi. Lau menang dengan majoriti 5,135 undi pada PRU12.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: