09 Mei 2013

Saya bersabar dan bersyukur, insya Allah

28 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

JIKA ditanya adakah saya masih berduka dengan keputusan PRU13, jawab saya ya. Bagaimana mungkin untuk saya mampu menerima keputusan PRU13 sedangkan suasana di luar kotak undi begitu ketara berbeza. Di saja mana ceruk rantau negeri yang Barisan Nasional dikatakan kuat, langsung tiada petanda sokongan kepada BN sebagaimana dizahirkan kepada Pakatan Rakyat.


Pun begitu, ketentuan Allah dan takdirnya tidak siapa yang dapat menolak. Allah yang Maha Agung telah mentakdirkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 133 kerusi untuk BN dan 89 kerusi untuk PR. Bersabar dan bersyukur? Saya bersabar dan bersyukur, insya Allah.

Namun, bersabar bukan bererti diam, terima saja tanpa mengikhtiarkan sesuatu. Gerak hati rakyat yang inginkan perubahan mesti dinyatakan. Gelombang perubahan yang diinginkan rakyat mesti sedia untuk melanda setiap kezaliman dan kejahatan.

Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat yang diadakan di Lembah Klang dan Rusila malam tadi, 8 Mei 2013 adalah suatu isyarat jelas kepada seluruh pimpinan politik. Jangan pekakkan telinga kalian dari suara rakyat yang inginkan kebenaran dan keadilan. Jangan butakan mata kalian dari kehendak rakyat yang bencikan kezaliman dan kejahatan.

Dalam penulisan-penulisan lepas, saya ada menyebut apa yang boleh kita lakukan menerusi saluran undang-undang yang ada. Moga ianya terus diusahakan sebagai ikhtiar kita untuk disandarkan kepada Allah SWT.

Apa yang ingin saya kemukakan kini adalah suatu anjakan kemanusiaan yang harus diambilkira. Cukup dengan perhatikan apa yang dizahirkan dalam himpunan suara rakyat suara keramat, pendukung dan penyokong PR bukan sedikit bahkan ia majoriti dalam pengundian. Mereka mampu berhimpun tanpa dibayar biarpun datang dari pelbagai ceruk. Biarpun jalan yang sesak dan hujan renyai-renyai, ia langsung tidak menghalang penyatuan mereka.

Mereka berhimpun untuk keamanan. Tidak sekali-kali untuk buat kacau atau huru hara. Mereka mampu diam di tengah-tengah keriuhan bila mana azan dilaungkan. Mereka tidak sekali-kali mementingkan kaum atau bangsa sendiri.

Sesungguhnya rakyat inginkan kebaikan bukan kezaliman atau penindasan. Itulah yang perlu dijadikan pertimbangan dan titik tolak kepada seluruh 222 orang wakil rakyat yang telah dipilih.

Daripada 222 orang ahli Dewan Rakyat hari ini, 109 adalah mewakili Umno, 24 komponen-komponen parti BN, dan 89 dari PR. Seterusnya Bahagian 4 Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43 (2) (a) menyebut perlantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong adalah tertakluk kepada ahli dewan yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan. Ia langsung tidak menyebut berkaitan majoriti mengikut parti atau komponen parti yang diwakili.

Dalam suasana hari ini, meskipun Perdana Menteri telah pun mengangkat sumpah, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan juga menyediakan peruntukan bilamana seseorang Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti ahli dewan. Apa yang berlaku di Perak semasa peralihan kepimpinan dari PR ke BN adalah contoh terdekat yang boleh berlaku juga di peringkat persekutuan.

Dari bilangan ahli dewan BN iaitu 109 dari Umno dan 24 dari komponen-komponen lain, saya mempunyai keyakinan betapa ada dari mereka yang mampu memahami apakah aspirasi majoriti rakyat yang terdedah dengan ilmu dan maklumat hari ini. Tiada undang-undang yang mampu menghalang untuk 109 dan 24 ahli dewan ini memberi kepercayaan kepada selain Perdana Menteri yang ada untuk menerajui pucuk pimpinan negara hatta dari PR.

Bukan kita tidak boleh tunggu untuk PRU14 lima tahun lagi, bukan kita tidak mengambil pengajaran dari sirah agung yang lalu, namun, seruan al-Quran dan Hadis untuk amar makruf nahi munkar diperjuangkan perlu menjadi keutamaan.

Saya penuh yakin, tiada siapa (mereka yang waras) yang ingin melihat sistem kenegaraan kita terus diseliputi kepincangan dan kemusnahan. Lima tahun meskipun tidak lama, ia cukup untuk meranapkan sisa-sisa struktur yang ada yang telah sedia punah.

PR hari ini telah ramai disertai bijak pandai dan pendukung-pendukung Umno BN atas dasar mendokong kebenaran dan keadilan. Gelombang ini tidak akan berhenti di situ saja. Saya percaya, ia mampu mengubah birai pantai sebagaimana kehendak majoriti rakyat.

Harakahdaily/-

2 ulasan:

PakNgahYob@AcikLee berkata...

TAKBIRRRR.......satu susunan ungkapan yang amat penuh bermakna...wahwi drs....kume siap sediye menyusun langkoh...sedeghap...mencaghi keadilan sejagat.

Tanpa Nama berkata...

teruskn perjuangan utk kemenangan pru 14. bnyk perkara perlu d muhasabah bkn dpersalah.