08 Mei 2013

PAS pastikan Selangor jadi kubu kuat Pakatan

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS Selangor mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi di negeri itu kerana berjaya mengekalkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri.


Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman ketika dihubungi memberitahu peningkatan kerusi PAS di Selangor turut membuktikan parti itu telah mendapat kepercayaan rakyat Selangor.

Pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13), PAS memperolehi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berbanding hanya 8 kerusi sahaja pada 2008.

Dalam pada itu Dr Abd Rani juga menyatakan peningkatan undi masyarakat Cina turut membantu kemenangan Pakatan Rakyat khususnya PAS.

"Ini merupakan kejayaan paling besar kepada Pakatan Rakyat kerana kita mendapat jumlah kerusi yang lebih banyak, begitu juga PAS yang menunjukkan peningkatan dari jumlah kerusi yang dimenangi jika dibandingkan tahun 2008," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau yang turut memberitahu, PAS akan memastikan Selangor menjadi kubu kuat Pakatan Rakyat pada masa yang akan datang seperti mana Kelantan yang sehingga kini mampu bertahan selama 23 tahun.

Katanya lagi, kerjasaman erat antara ketiga-tiga parti merupakan rencah utama kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor selain dari gerak kerja jentera yang kuat dan bersistematik.

"Kunci utama kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor adalah jalinan kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti, perselisihan faham dapat diselesaikan dengan baik tanpa ada ketegangan.

"Selain itu gerak kerja jentera ketiga-tiga parti berada dalam keadaan yang lebih bersedia dan bersistematik sehinggakan Barisan Nasional (BN) gagal untuk merampas negeri ini," sambung beliau lagi.

Pada PRU13, Pakatan Rakyat memenangi 17 kerusi parlimen, manakala BN 5 sahaja.

Dr Abd Rani yang berjaya mempertahankan kerusi Dun Meru dengan majoriti sebanyak 9,079 undi berbanding 5,513 undi pada 2008.

harakahdailty/-

Tiada ulasan: