08 Mei 2013

Lelaki cedera parah ditembak dari jarak dekat


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki cedera parah ditembak dari jarak dekat ketika sedang minum bersama beberapa rakannya di sebuah kedai makan di Sungai Daun, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata mangsa dihampiri seorang lelaki yang memakai topi keledar kira-kira jam 11 malam dan melepaskan dua das tembakan ke arahnya. 
Beliau berkata tembakan itu mengenai kepala lelaki berusia 43 tahun itu dan dia dihantar ke Hospital Sungai Bakap, di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang. 


"Lelaki itu kini berada dalam keadaan koma," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang melepaskan tembakan ke arah mangsa melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama rakannya yang menunggu kira-kira 30 meter dari tempat kejadian.


"Ketika melarikan diri, lelaki terbabit tercicir sebuah beg berisi peluru dan topi keledar yang dipakainya berhampiran tempat kejadian," katanya. 



Mazlan berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian tembakan itu. 



"Kami akan mengambil keterangan daripada saksi kejadian dan anggota keluarga mangsa serta rakan-rakannya," katanya. 



Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Tiada ulasan: