Jenuh angkut air 100 meter

Jeyaindran (lima, kiri) menyerahkan paip untuk dipasang di kawasan perkampungan Orang Asli di Pos Bersih.
ULU SLIM - Kesukaran penduduk Orang Asli di Pos Bersih yang terpaksa mengambil air di Sungai Ko’ol untuk kegunaan seharian bakal tamat apabila Yayasan MyNadi menghulurkan bantuan tersebut.
Sebelum ini, penduduk Orang Asli di kawasan itu terpaksa mengangkut air dari Sungai Ko’ol  dengan jarak 100 meter dari kawasan perkampungan mereka.
Tok Batin, Lupa a/l Kadir, 59, berkata, kira-kira 130 penduduk Orang Asli di kawasan itu terpaksa mengangkut air setiap hari untuk kegunaan harian termasuk memasak kerana tidak mempunyai kemudahan mendapatkan bekalan air bersih.

Menurutnya, beliau turut menggunakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk memasang paip dari sungai ke satu tempat bagi memudahkan penduduk mendapatkan air tanpa perlu turun ke sungai.

"Ketika ini, saya nekad untuk berbuat demikian kerana tidak mahu lagi melihat penduduk terpaksa mengangkut air dari Sungai Ko’ol ke rumah.

"Namun, keadaan itu bakal berubah apabila Yayasan MyNadi memberikan salur air sepanjang 100 meter untuk dipasang," katanya.

Kata Lupa, berita yang diterima disampaikan oleh Pengerusi Yayasan MyNadi, Datuk Dr S Jeyaindran ketika lawatan beliau ke perkampungan Orang Asli itu disambut dengan hati gembira.
“Inilah berita yang kami nanti-nantikan sejak dahulu sekali gus penduduk turut menikmati  kemudahan diberikan oleh kerajaan.

“Pemasangan yang dibuat secara bergotong-royong penduduk dalam tempoh terdekat sekali gus menyelesaikan masalah kami di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Khas Yayasan My Nadi, C Ramesh Arumugam berkata, kesukaran penduduk untuk mendapatkan air dapat diatasi apabila Yayasan MyNadi memberikan salur air
kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Projek dijangka siap dalam tempoh sebulan dan akan dipantau oleh pihak yayasan,” katanya.

harakahdaily/-